WINDHOEK: Seorang ahli perniagaan dan dermawan terkenal yang banyak menyumbang dana bagi pemuliharaan singa gurun di Namibia maut selepas diserang oleh seekor singa betina ketika berada di kawasan perkhemahan utara negara itu.
Mangsa, Bernd Kebbel, 59, diserang secara tiba-tiba oleh seekor singa betina liar sejurus beliau turun dari khemah atap yang dipasang di atas kenderaan pacuan empat roda miliknya, kira-kira awal pagi Jumaat lalu.
Ketika itu, beliau dipercayai bangun untuk ke tandas tanpa menyedari haiwan pemangsa itu sedang menghendap dari kejauhan.
Menurut pihak polis Namibia, serangan berlaku terlalu pantas dan ganas sehingga mangsa tidak sempat diselamatkan, walaupun jeritan beliau mengejutkan penghuni lain di kawasan perkhemahan berdekatan yang segera datang membantu dan berjaya menghalau singa berkenaan.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di leher dan tekak akibat digigit serta diseret singa, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Singa betina yang dikenali penduduk setempat sebagai “Charlie” itu kini berdepan risiko diburu dan ditembak mati, namun Kementerian Alam Sekitar dan Pelancongan Namibia memaklumkan sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan laporan pakar pemuliharaan.
Kebbel yang menetap di ibu negara Windhoek bersama isterinya, Conny, 57, merupakan pemilik pusat jualan kenderaan safari, Off-Road Centre, yang turut menyediakan kelengkapan ekspedisi ke kawasan liar disamping turut dikenali sebagai penyumbang utama dalam usaha pemeliharaan singa gurun di wilayah Kunene.
Menurut pakar singa tempatan, terdapat kurang daripada 60 ekor singa gurun di wilayah berkenaan, dengan hanya belasan ekor berada di sekitar kawasan perkhemahan Hoanib Skeleton Coast, tempat kejadian berlaku.
Singa gurun yang hidup dalam persekitaran tandus itu aktif berburu pada waktu malam kerana tiada tempat berlindung pada siang hari, dan mereka berkemampuan berlari sepantas 80 kilometer sejam.
Pihak Kementerian Alam Sekitar Namibia dan polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap kejadian dan belum membuat keputusan berhubung nasib singa betina tersebut. -AGENSI










