Blaise Metreweli wanita pertama dilantik Ketua MI6 - Utusan Malaysia

Blaise Metreweli wanita pertama dilantik Ketua MI6

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kerajaan Britain melantik Blaise Metreweli sebagai wanita pertama yang mengetuai perkhidmatan risikan luar negara, MI6 ketika negara itu berdepan dengan ancaman berskala luar biasa, umum Perdana Menteri Keir Starmer pada Ahad.

Pelantikan bersejarah Metreweli sebagai Ketua MI6 ke-18 diumumkan oleh pejabat Downing Street dengan Starmer menyifatkannya sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh keselamatan negara.

“Pelantikan bersejarah Blaise Metreweli hadir ketika peranan agensi risikan kita tidak pernah sepenting ini,” kata Starmer.

“United Kingdom kini berdepan dengan pelbagai ancaman dari kuasa asing yang menghantar kapal pengintip ke perairan kita hingga penggodam yang melancarkan serangan siber canggih untuk mengganggu perkhidmatan awam,” tambah beliau.

Ketua MI6 adalah satu-satunya anggota agensi tersebut yang diumumkan secara rasmi dan melapor terus kepada Menteri Luar. Jawatan itu dikenali sebagai ‘C’, berbeza dengan gelaran ‘M’ yang dipopularkan dalam francais filem James Bond.

Metreweli akan menggantikan penyandang jawatan semasa, Richard Moore pada musim luruh ini.

Ketika ini, Metreweli merupakan Pengarah Jeneral MI6, dikenali sebagai ‘Q’ yang bertanggungjawab ke atas teknologi dan inovasi dalam agensi berkenaan.

Beliau merupakan pegawai risikan berpengalaman yang menyertai MI6 pada 1999 selepas menamatkan pengajian dalam bidang antropologi di Universiti Cambridge.

Metreweli juga pernah memegang jawatan kanan di MI6 dan agensi risikan dalam negeri (MI5) serta terlibat secara langsung dalam operasi di Asia Barat dan Eropah.

Pelantikan ini dibuat lebih tiga dekad selepas agensi MI5 melantik ketua wanita pertamanya, Stella Rimington (1992–1996) diikuti Eliza Manningham-Buller (2002–2007).

Sementara itu, Agensi Komunikasi Kerajaan (GCHQ) turut melantik wanita pertama sebagai ketuanya, Anne Keast-Butler pada 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN