Bekalan tepung ke Gaza dirompak kumpulan bersenjata - PBB - Utusan Malaysia

Bekalan tepung ke Gaza dirompak kumpulan bersenjata – PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan kebanyakan bekalan tepung gandum yang dibawa masuk ke Gaza sejak sekatan bantuan Israel ditarik balik tiga minggu lalu dirampas oleh kumpulan bersenjata atau diambil oleh penduduk yang kelaparan.

Menurut Timbalan Jurucakap PBB, Farhan Haq, PBB setakat ini hanya dapat menghantar sekitar 4,600 tan metrik tepung gandum ke Gaza melalui lintasan Kerem Shalom, satu-satunya laluan bantuan yang dibenarkan oleh Israel.

“Sebahagian besar tepung itu diambil oleh penduduk yang sangat terdesak sebelum sempat sampai ke lokasi agihan. Dalam beberapa kes, bekalan telah dirampas oleh kumpulan bersenjata,” kata Haq kepada media.

Menurut anggaran kumpulan bantuan, Gaza memerlukan antara 8,000 hingga 10,000 tan metrik tepung gandum untuk membolehkan setiap keluarga menerima sekurang-kurangnya satu beg tepung, sekali gus mengurangkan tekanan pasaran dan keputusasaan penduduk.

Berdasarkan garis panduan Program Makanan Sedunia (WFP), sebanyak 4,600 tan metrik tepung hanya mampu membekalkan roti selama lapan hari kepada dua juta penduduk Gaza, jika diambil kira kadar penggunaan 300 gram sehari setiap individu.

Haq turut menyeru agar Israel membenarkan lebih banyak bantuan dibawa masuk melalui pelbagai lintasan dan laluan.

Sejak sekatan selama 11 minggu ditamatkan pada pertengahan Mei lalu, PBB hanya dapat menghantar tepung, sedikit bekalan perubatan dan makanan berkhasiat. Pakar memberi amaran bahawa Gaza kini berada di ambang kebuluran dengan kadar kekurangan zat akut dalam kalangan kanak-kanak kecil hampir tiga kali ganda.

Israel dan Amerika Syarikat (AS) mahu PBB bekerjasama dengan Gaza Humanitarian Foundation (GHF), sebuah entiti bantuan baharu yang kontroversi namun PBB menolak dengan alasan ia tidak neutral dan mempersoalkan kaedah pengagihannya.

GHF dikendalikan oleh firma keselamatan dan logistik swasta dari AS, dan mula beroperasi di Gaza sejak 26 Mei. Menurut kenyataan badan itu, mereka telah mengagihkan 11.4 juta hidangan setakat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN