DUBAI: Satu kebakaran besar berlaku melibatkan sebuah bangunan setinggi 67 tingkat di kawasan Marina di sini, menurut Pejabat Media Dubai (DMO), semalam.
Menurut laporan akhbar Khaleej Times, kesemua 3,820 penduduk dari 764 unit pangsapuri di Marina Pinnacle dipindahkan dengan selamat selepas kebakaran bermula lewat malam Jumaat.
Kebakaran juga dapat dipadamkan oleh pasukan Pertahanan Awam Dubai yang bertungkus lumus selama enam jam untuk mengawal api.
Menurut DMO, pihak berkuasa kini bekerjasama rapat dengan pemaju bangunan untuk menyediakan penginapan sementara kepada semua penduduk yang terjejas, dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan dan kebajikan mereka.
“Pasukan khas dapat memindahkan semua penduduk dari bangunan 67 tingkat itu dengan selamat, mengutamakan kesihatan dan keselamatan mereka sepanjang operasi.
“Pasukan ambulans dan kakitangan perubatan berada di tapak untuk menawarkan sokongan perubatan dan mental penuh kepada penduduk yang dipindahkan dengan selamat,” menurut DMO dalam siaran di X, semalam.
Usaha memadamkan sepenuhnya kebakaran itu terus dilakukan.
Pada pukul 2.21 pagi (waktu tempatan), DMO mengesahkan kesemua 3,820 penduduk daripada 764 unit berjaya dipindahkan tanpa sebarang kecederaan.
Ini bukan kali pertama Marina Pinnacle yang turut dikenali sebagai Menara Tiger mengalami kebakaran.
Pada Mei 2015, insiden di dapur menyebabkan kebakaran bermula di tingkat 47 dan merebak ke tingkat 48 sebelum dikawal oleh Pertahanan Awam Dubai, menurut Khaleej Times.










