Banci penduduk India bakal dilaksanakan selepas tertangguh enam tahun - Utusan Malaysia

Banci penduduk India bakal dilaksanakan selepas tertangguh enam tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Selepas enam tahun tertangguh, kerajaan India akhirnya mengumumkan banci penduduk negara itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka selesai pada tahun 2027.

Banci setiap sepuluh tahun sekali itu merupakan antara operasi pentadbiran terbesar di dunia dan menjadi sumber data penting dalam perancangan pelbagai skim kebajikan, pengagihan dana kerajaan persekutuan, persempadanan kawasan pilihan raya serta pelaksanaan dasar utama negara.

Banci terakhir dijalankan pada tahun 2011, manakala banci baharu sepatutnya diadakan pada tahun 2021 namun, ia tertangguh beberapa kali dengan alasan awal disebabkan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, penangguhan berterusan tanpa penjelasan lanjut telah mengundang kritikan pelbagai pihak yang mempersoalkan kelewatan pelaksanaan banci tersebut.

Dalam kenyataan pada Rabu, Kementerian Dalam Negeri India memaklumkan banci akan dijalankan dalam dua fasa dengan tarikh rujukan ditetapkan pada 1 Mac 2027.

Bagi kawasan pergunungan yang dilitupi salji seperti negeri Uttarakhand, Himachal Pradesh, dan wilayah Ladakh serta Jammu dan Kashmir, tarikh rujukan ditetapkan lebih awal iaitu pada 1 Oktober 2026 walau bagaimanapun, tiada maklumat lanjut diberikan berkenaan tarikh sebenar banci itu akan dimulakan.

Menariknya, buat pertama kali sejak merdeka, kerajaan India turut akan mengumpul data berkaitan latar belakang kasta semua warganegara, isu yang amat sensitif dari segi politik dan sosial di negara itu di mana kali terakhir ianya dikumpulkan secara rasmi dalam banci kebangsaan adalah pada tahun 1931 ketika India masih berada di bawah pemerintahan kolonial British.

Banci India dijalankan mengikut Akta Banci 1948 yang menyediakan kerangka undang-undang untuk pelaksanaannya, namun akta tersebut tidak menetapkan jadual tetap atau tarikh wajib bagi banci dijalankan atau keperluan pengumuman keputusannya.

Pada tahun 2020, kerajaan India dijangka memulakan fasa pertama banci yang melibatkan pengumpulan data perumahan, namun pandemik melanda menyebabkan ia ditangguhkan dan sejak itu, penundaan terus berlaku tanpa alasan yang jelas walaupun keadaan kembali normal.

Pakar-pakar memberi amaran kelewatan ini boleh memberi kesan besar kepada negara paling ramai penduduk di dunia, termasuk kemungkinan rakyat tercicir daripada skim bantuan dan pengagihan sumber yang tidak tepat. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×