AS-China bertemu di London runding selesaikan perang tarif

AS-China bertemu di London runding selesaikan perang tarif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Rundingan baharu bagi menyelesaikan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China dijadual berlangsung di London hari ini, melibatkan pertemuan peringkat tinggi antara delegasi kedua-dua negara.

Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pada Jumaat lalu delegasi tertinggi negaranya akan bertemu wakil kerajaan China, dengan Beijing kemudiannya mengesahkan kehadiran Naib Perdana Menteri, He Lifeng dalam rundingan tersebut.

Pengumuman itu dibuat susulan perbualan telefon antara Trump dan Presiden China, Xi Jinping minggu lalu yang digambarkan sebagai perbualan yang sangat baik oleh Presiden AS berkenaan.

Trump menerusi platform Truth Social menyatakan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent; Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick; dan Wakil Perdagangan, Jamieson Greer akan mewakili Washington dalam rundingan bersama He Lifeng dan delegasi China.

Kementerian Luar China pada Sabtu memaklumkan Lifeng akan berada di United Kingdom (UK) mulai 8 hingga 13 Jun dan akan menghadiri mesyuarat mekanisme ekonomi dan perdagangan antara AS-China.

Jinping dalam perbualannya dengan Trump menegaskan Washington perlu menarik semula tindakan negatif yang diambil terhadap China, menurut agensi berita rasmi Xinhua.

Perbualan itu merupakan komunikasi langsung pertama antara kedua-dua pemimpin sejak perang perdagangan tercetus pada Februari lalu.

Pada Mei lalu, rundingan yang diadakan di Switzerland menyaksikan gencatan senjata sementara dicapai apabila kedua-dua negara bersetuju menurunkan kadar tarif ke atas barangan masing-masing.

Trump menyifatkan perjanjian itu sebagai penetapan semula sepenuhnya apabila tarif AS terhadap produk China diturunkan kepada 30 peratus, manakala China pula menurunkan cukai import terhadap barangan AS kepada 10 peratus serta berjanji membuka semula eksport mineral kritikal.

Bagaimanapun, tempoh gencatan selama 90 hari yang diberikan untuk mencapai perjanjian kekal kini tergugat selepas kedua-dua negara saling menuduh melanggar persetujuan.

Trump baru-baru ini menuduh China gagal memulakan semula penghantaran bahan mineral penting dan magnet nadir bumi yang kritikal untuk industri automotif dan teknologi. 

Sebagai reaksi, Beijing mendakwa Washington telah melanggar perjanjian secara serius.

Perkembangan ini sekali lagi menandakan betapa rapuhnya hubungan ekonomi antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia, yang bakal memberi kesan langsung kepada kestabilan perdagangan global. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN