AS belanja RM568 juta kerah tentera ke Los Angeles kawal protes - Utusan Malaysia

AS belanja RM568 juta kerah tentera ke Los Angeles kawal protes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth mempertahankan keputusan menghantar anggota marin dan Pasukan Pengawal Kebangsaan ke Los Angeles (LA) dengan kos sebanyak AS$134 juta (RM568 juta) bagi melindungi pegawai Imigresen dan Kastam (ICE) yang kini menjadi sasaran protes susulan operasi penahanan pendatang.

“Kami percaya pegawai ICE berhak menjalankan tugas mereka dalam keadaan selamat dan sebab itu kami menghantar anggota tentera bagi melindungi mereka semasa operasi.

“Undang-undang imigresen perlu dikuatkuasakan di negara ini,” katanya di Kongres.

Presiden Donald Trump tsebelum inimengarahkan penempatan 700 anggota marin di kawasan LA serta mengaktifkan 4,000 anggota Pengawal Kebangsaan untuk menangani tunjuk perasaan walaupun mendapat bantahan daripada Gabenor California, Gavin Newsom, dan pemimpin tempatan lain.

Seorang pegawai AS memaklumkan 2,100 daripada anggota tersebut kini bertugas di LA.

Bryn MacDonnell dari Pentagon yang menjalankan tugas pengurusan kewangan memaklumkan kepada ahli Kongres kos penempatan ini meliputi perjalanan, tempat tinggal dan makanan untuk anggota tentera yang terlibat.

Namun begitu, ahli politik Demokratik mempersoalkan tindakan ini dan membangkitkan kebimbangan bahawa penggunaan tentera aktif untuk tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh pasukan penguat kuasa undang-undang adalah tidak wajar.

“Inilah tindakan yang tidak adil terhadap anggota marin kita. Khidmat mereka sepatutnya dihormati, bukan diperalatkan,” kata Wakil Betty McCollum dari Minnesota dalam satu sesi Jawatankuasa Peruntukan Dewan Perwakilan.

Dalam satu pendengaran berasingan, Komandan Kor Marin, Jeneral Eric Smith menjelaskan anggota marin yang dihantar dilatih dalam pengawalan orang ramai dan dibekalkan perisai serta belantan.

“Mereka tidak mempunyai kuasa untuk membuat tangkapan,” kata Smith kepada Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat sambil menegaskan peranan mereka hanyalah sebagai sokongan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN