MINA: Majlis Perbandaran Mekah menyiapkan rangkaian pencahayaan yang meluas dan termaju di Arafah, termasuk lengkap dengan reka bentuk seni bina yang unik serta teknik pemasangan moden, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Pada malam Tarwiyah iaitu sehari sebelum Hari Arafah yang menandakan permulaan rasmi ibadah haji, kawasan itu disinari pancaran cahaya yang menakjubkan.
Susun atur pencahayaan yang diselaraskan pihak majlis perbandaran menjadikan kawasan Arafah bersinar bagaikan suar, menambahkan suasana rohani dan memberi ketenangan kepada jemaah.
Menurut Majlis Perbandaran Mekah, rangkaian baharu itu merangkumi sekitar 20,000 unit lampu pelbagai kapasiti yang dipasang pada kira-kira 5,000 menara serta tiang dalam pelbagai saiz dan bentuk.
Unit-unit lampu diletakkan secara strategik bagi memastikan liputan penuh di semua jalan dan lorong di Arafah, membentuk sistem pencahayaan visual yang menyeluruh.
Rangkaian pencahayaan di tapak suci itu dikemas kini dan diperluaskan setiap tahun, dengan persiapan awal membabitkan kerja penyelenggaraan menyeluruh.
Bagi musim haji tahun ini, perhatian khusus diberikan kepada kawasan utama di Arafah, termasuk laluan pejalan kaki dan laluan yang menghubungkan Arafah ke Muzdalifah dan tapak penting lain.










