Angka korban runtuhan batu kapur Cirebon meningkat kepada 18 orang

Angka korban runtuhan batu kapur Cirebon meningkat kepada 18 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDUNG: Angka korban akibat kejadian runtuhan di sebuah kuari batu kapur di Pulau Jawa, Indonesia meningkat kepada 18 orang pada Ahad, dengan tujuh lagi yang masih hilang dikhuatiri maut, menurut seorang pegawai tentera.

Kejadian berlaku pada pagi Jumaat di sebuah tapak kuari di bandar Cirebon, wilayah Jawa Barat apabila batu-batu besar tiba-tiba runtuh, menimbus para pekerja dan jentera berat.

Insiden itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang cedera.

“Hari ini, kami menemui satu lagi mayat, menjadikan jumlah korban keseluruhan seramai 18 orang, manakala tujuh lagi masih hilang.

“Kami percaya mangsa yang masih hilang mungkin telah meninggal dunia,” kata Ketua Tentera tempatan, Mukhammad Yusron.

Pasukan penyelamat mengerahkan jentolak dan anjing pengesan untuk mencari baki mangsa yang belum ditemui.

Mukhammad menjelaskan, operasi menyelamat amat mencabar dan berbahaya kerana struktur batu yang tidak stabil.

“Kami perlu menitikberatkan keselamatan anggota penyelamat kerana berlaku runtuhan tambahan semasa operasi dijalankan,” katanya.

Syarikat tempatan yang mengendalikan kuari tersebut didapati beroperasi secara sah, namun menurut Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi, tahap keselamatan di tapak itu tidak mencukupi.

Beliau memaklumkan sudah mengarahkan penutupan operasi kuari itu selepas kejadian tersebut.

“Saya telah mengarahkan kakitangan saya di lokasi untuk menutup syarikat itu secara kekal,” katanya dalam satu kenyataan awal minggu ini.

Kejadian pada Jumaat itu merupakan runtuhan kedua yang berlaku di kuari berkenaan, selepas insiden serupa pada Februari lalu yang tidak melibatkan sebarang korban jiwa.

Kemalangan di kawasan perlombongan sering berlaku di kepulauan Asia Tenggara yang kaya dengan mineral ini, terutamanya di tapak tidak berlesen yang sering mengabaikan protokol keselamatan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN