GAZA: Lebih 120 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam terakhir dalam serangan berterusan rejim Zionis Israel di seluruh Semenanjung Gaza, menurut sumber perubatan kepada Al Jazeera, termasuk puluhan mangsa yang mencari bantuan makanan.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan seramai 57 penduduk yang cuba mendapatkan bantuan maut manakala lebih 363 lagi cedera sejak pagi Rabu lalu, ketika rejim Israel terus menggempur kawasan-kawasan dikepung.
Titik agihan bantuan itu dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), sebuah inisiatif yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel di kawasan-kawasan yang dikawal ketat oleh tentera rejim.
Dalam pada itu, serangan udara dan tembakan tentera Israel di lokasi lain di Gaza turut meragut puluhan nyawa, termasuk kanak-kanak.
Serangan ke atas kejiranan Tuffah di Bandar Gaza mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang, menurut sumber perubatan tempatan.
Di utara Gaza, tiga orang termasuk dua kanak-kanak maut apabila sebuah rumah di Jabalia dibedil tentera Israel manakala berhampiran kem pelarian Nuseirat di Gaza Tengah, tiga lagi terbunuh dalam serangan dron yang turut mencederakan beberapa yang lain, menurut agensi berita Wafa.
Di selatan Gaza pula, empat orang termasuk seorang kanak-kanak maut selepas khemah pelarian di Kem Tiberias, Khan Younis dibom rejim Zionis.
Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan jumlah korban perang sejak 7 Oktober 2023 kini meningkat kepada 55,104 orang, sebahagian besar daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak.
Jurucakap Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), James Elder yang turut berada di hospital itu menyifatkan situasi tersebut sebagai “perang terhadap kanak-kanak”.
“Di mana-mana sahaja kami pergi, keadaannya sama iaitu kanak-kanak dibakar, dicederakan dan dibiarkan menderita walaupun doktor berusaha sehabis baik,” katanya. —AGENSI










