Ancaman perang, PM Britain mungkin naikkan cukai bina aset ketenteraan

Ancaman perang, PM Britain mungkin naikkan cukai bina aset ketenteraan

KEIR STARMER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer memberi amaran beliau mungkin menaikkan cukai demi memastikan negara ‘bersiap siaga untuk berperang’, susulan ancaman dari Russia, Iran dan Korea Utara.

Dalam pelancaran Kajian Strategik Pertahanan (SDR) di Scotland, kerajaan pimpinan Parti Buruh berjanji akan memperkukuh pertahanan melalui pembinaan kapal selam nuklear baharu, kilang peluru dan perluasan keanggotaan tentera.

Namun, kerajaan belum menetapkan tarikh muktamad untuk mencapai sasaran perbelanjaan pertahanan sebanyak tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), meskipun pelan 10 tahun yang dibentangkan bergantung penuh kepada pencapaian angka tersebut.

Institut Kajian Fiskal (IFS) yang berpengaruh menyatakan satu-satunya cara untuk mengekalkan kewangan negara dalam kawalan ialah dengan menaikkan cukai secara besar-besaran.

Antara cadangan utama ialah pembinaan 12 kapal selam berkuasa nuklear baharu, pelaburan 1.5 bilion pound (RM8.6 bilion) untuk membina sekurang-kurangnya enam kilang peluru, penubuhan komando siber dan pelaburan 1 bilion pound (RM5.7 bilion) dalam keupayaan digital, serta peruntukan tambahan sehingga 1 bilion pound bagi pertahanan udara dan peluru berpandu dalam negara.

Kajian tersebut menyifatkan Russia sebagai ancaman segera dan mendesak, sementara China pula dianggap sebagai cabaran sofistikated dan berterusan yang dijangka memiliki 1,000 kepala peledak nuklear menjelang 2030 manakala Iran dan Korea Utara pula dikenali sebagai penggugat serantau.

Namun begitu, parti pembangkang, parti Konservatif mengkritik kerajaan kerana gagal menetapkan garis masa yang jelas terhadap sasaran tiga peratus KDNK untuk pertahanan.

Starmer mempertahankan pendekatan berhati-hati itu dengan menyatakan beliau tidak mahu bermain politik fantasi tanpa kepastian kukuh.

“Saya tidak akan tetapkan tarikh sehingga saya pasti boleh menjelaskan secara terperinci bagaimana ia akan dilaksanakan. Ini soal keselamatan negara, dan saya ambil serius,” kata beliau dalam wawancara bersama BBC Radio 4.

Walaupun kerajaan telah mempercepat sasaran 2.5 peratus KDNK kepada tahun 2027, komitmen kepada tiga peratus kini hanya diklasifikasikan sebagai cita-cita tinggi dalam sesi parlimen seterusnya. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×