Aktivis bot bantuan ke Gaza diusir dari Israel

Aktivis bot bantuan ke Gaza diusir dari Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Aktivis alam sekitar terkenal dari Sweden, Greta Thunberg bersama 11 yang lain, termasuk dua wartawan, kini sedang menunggu proses pengusiran di Lapangan Terbang Ben Gurion selepas bot bantuan mereka naiki menuju ke Gaza dipintas oleh tentera laut Israel.

Menurut Kementerian Luar Israel, semua penumpang bot Madleen tiba di lapangan terbang itu untuk dihantar pulang ke negara masing-masing.

“Tindakan akan diambil terhadap mereka yang enggan menandatangani dokumen deportasi dan meninggalkan Israel. Mereka akan dibawa ke hadapan pihak berkuasa kehakiman,” menurut kenyataan rasmi yang dimuat naik di platform X.

Aktivis berkenaan yang berlayar dari Itali pada 1 Jun lalu membawa makanan dan bekalan bantuan ke Gaza, wilayah yang kini di ambang kebuluran menurut amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bot tersebut dipintas di perairan antarabangsa semalamdan kemudian ditunda ke Pelabuhan Ashdod oleh tentera laut Israel.

Kumpulan penggerak misi itu, Freedom Flotilla Coalition, dalam kenyataan berkata, kesemua aktivis kini dalam proses dokumentasi oleh pihak berkuasa Israel.

“Mereka mungkin akan dibenarkan berlepas pulang seawal malam ini,” kata kumpulan itu menerusi media sosial.

Rakaman video yang dikongsi kumpulan itu menunjukkan para aktivis dengan tangan terangkat sewaktu tentera Israel menaiki bot dan tiada kecederaan dilaporkan.

Tindakan Israel itu mencetuskan kecaman beberapa negara antaranya Turkiye yang menyifatkan insiden berkenaan sebagai satu serangan kejam, manakala Iran pula mengutuknya sebagai ‘lanun laut’ di perairan antarabangsa.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant sebelum ini mempertahankan sekatan laut terhadap Gaza dengan alasan langkah itu perlu bagi menghalang senjata diseludup masuk ke tangan kumpulan pejuang Palestin.

Sementara itu, NGO Adalah yang menyediakan bantuan guaman kepada komuniti Arab di Israel memaklumkan para aktivis di atas Madleen meminta khidmat mereka dan berkemungkinan akan dibawa ke pusat tahanan sebelum proses deportasi dilaksanakan.

Israel kini terus berdepan tekanan antarabangsa agar lebih banyak bantuan dibenarkan masuk ke Gaza, khususnya bagi mengatasi krisis makanan dan keperluan asas yang semakin meruncing. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN