LANGENZENN: Sekurang-kurangnya 12 orang cedera selepas satu bungkusan mencurigakan yang mengandungi serbuk putih dikesan di pusat agihan DHL di Langenzenn, daerah Burggrafenhof, Jerman pada pagi Jumaat.
Menurut polis tempatan, seramai tujuh pekerja dikejarkan ke hospital manakala selebihnya menerima rawatan di lokasi kejadian. Kejadian itu mencetuskan operasi kecemasan besar-besaran melibatkan lebih 100 anggota penyelamat.
Pihak berkuasa mengesahkan insiden itu diklasifikasikan sebagai melibatkan bahan berbahaya.
Beberapa pekerja pusat mel dilaporkan terdedah secara langsung kepada bahan yang tidak diketahui tersebut yang ditemui di bahagian luar bungkusan dan didakwa menyebabkan iritasi kulit.
Jabatan bomba tempatan segera mendirikan pusat nyahcemar di tapak kejadian dan mengarahkan semua kakitangan pusat agihan tersebut untuk berpindah keluar.
Menurut jurucakap polis, sebuah alat pancuran nyahcemar khas turut dibawa ke lokasi untuk menyah toksin daripada mereka yang terdedah kepada bahan tersebut.
Sehingga kini, seramai 35 orang dilaporkan menggunakan pancuran nyahcemar itu.
Pasukan kecemasan masih berusaha mengesan penghantar bungkusan berkenaan namun belum mendapatkan sebarang maklumat lanjut setakat ini.
Anggota pasukan bahan berbahaya dari Erlangen dan Greding serta sebuah helikopter penyelamat masih berada di lokasi. Orang awam dinasihatkan untuk mengelakkan kawasan sekitar sehingga keadaan disahkan selamat sepenuhnya.
“Pasukan bahan berbahaya dari Erlangen dan Greding sedang menjalankan siasatan di lokasi. Mangsa yang terjejas menerima bantuan lanjut daripada anggota bomba,” kata jurucakap Ibu Pejabat Polis Franconia Tengah. – AGENSI










