GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan Semenanjung Gaza sebagai ‘tempat paling penuh kebuluran di dunia’.
Biarpun bantuan sudah dibawa masuk ke Gaza, namun kuantitinya amat sedikit, sekali gus tidak mencukupi keperluan yang diperlukan penduduk di wilayah tersebut.
Jurucakap PBB, Jens Laerke berkata, Gaza menjadi satu-satunya wilayah yang keseluruhan populasinya berdepan dengan kebuluran akut.
“Sebanyak 100 peratus penduduknya berisiko kebuluran akibat sekatan dan bantuan yang tidak mencukupi.
“Gaza merupakan tempat paling penuh kebuluran di dunia,” katanya.
Laerke turut mendedahkan kesukaran yang dihadapi PBB dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
Katanya, sebanyak 900 trak bantuan yang diberi kebenaran Israel untuk menghantar barangan keperluan asas sudah memasuki Gaza secara berperingkat.
“Namun, hanya 600 daripadanya yang sudah mengedarkan barangan kepada penduduk, selebihnya masih tersekat di kawasan sempadan Israel-Gaza.
“Jumlah bantuan yang dibawa masuk masih jauh daripada mencukupi dan keadaan sebenarnya masih sama dengan sebelum ini (ketika Israel menyekat kemasukan bantuan),” katanya.
Laerke turut memberitahu, misi menghantar bantuan ke Gaza merupakan paling sukar dilakukan kerana trak bantuan sering diserbu oleh penduduk yang terdesak.
Katanya, sebaik sahaja trak melalui kawasan penempatan atau berhenti, ia akan diserbu ratusan penduduk.
Namun, kenyataan itu dinafikan oleh Duta Israel ke PBB, Daniel Meron yang menyatakan agensi PBB sengaja mahu memburukkan imej Israel.
Meron menuduh PBB beria-ia mahu menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza kerana mahu ‘menolong Hamas’ dan selepas itu, kumpulan pejuang berkenaan akan melancarkan lebih banyak serangan terhadap Israel.
Kelmarin, Hamas memaklumkan mereka meneliti sepenuhnya cadangan gencatan senjata yang diusulkan oleh Amerika Syarikat (AS).
\Hamas menuntut gencatan dilaksanakan secara kekal, namun usul berkenaan hanya menyebut selama 60 hari.










