Wartawan antara 30 lagi maut di Gaza akibat bedilan Zionis - Utusan Malaysia

Wartawan antara 30 lagi maut di Gaza akibat bedilan Zionis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di seluruh Semenanjung Gaza pada Ahad termasuk seorang pegawai kanan perkhidmatan penyelamat dan seorang wartawan tempatan, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Kematian terbaru akibat kempen ketenteraan Israel berlaku di lokasi berasingan di Khan Younis (selatan), Jabalia (utara) dan Nuseirat (tengah Gaza), menurut kenyataan pasukan perubatan.

Di Jabalia, wartawan tempatan Hassan Majdi Abu Warda dan beberapa ahli keluarganya terbunuh dalam satu serangan udara yang mengenai rumah mereka awal pagi Ahad.

Satu lagi serangan di Nuseirat mengorbankan Ashraf Abu Nar, seorang pegawai kanan dalam perkhidmatan kecemasan awam wilayah itu serta isterinya, menurut petugas perubatan.

Pejabat media kerajaan Gaza memaklumkan bahawa kematian Abu Warda menjadikan jumlah wartawan Palestin yang terbunuh sejak Oktober 2023 meningkat kepada 220 orang.

Tentera Israel dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Ketua Turus, Eyal Zamir telah melawat pasukan tentera di Khan Younis pada Ahad dan memberitahu mereka bahawa ini bukan perang tanpa penghujung serta menyatakan bahawa Hamas telah kehilangan sebahagian besar asetnya termasuk struktur kawalan dan pemerintahan.

“Kami akan menggunakan segala keupayaan yang ada untuk membawa pulang tebusan, membongkar Hamas dan memusnahkan pemerintahannya,” kata Zamir seperti dipetik dalam kenyataan tersebut. Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyentuh mengenai serangan pada Ahad.

Lewat Ahad, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mengesahkan dua kakitangannya Ibrahim Eid dan Ahmad Abu Hilal terbunuh dalam satu serangan ke atas sebuah rumah di Khan Younis pada Khamis lalu.

“Kematian mereka menggambarkan jumlah korban awam yang tidak dapat diterima di Gaza. ICRC sekali lagi menggesa gencatan senjata segera serta menghormati dan melindungi orang awam termasuk petugas perubatan, bantuan kemanusiaan dan pertahanan awam,” menurut kenyataan ICRC.

Dalam kenyataan berasingan, pejabat media Gaza menyatakan bahawa tentera Israel kini mengawal 77 peratus wilayah Gaza sama ada melalui kehadiran pasukan darat, perintah pemindahan atau pengeboman yang menghalang penduduk daripada kembali ke rumah mereka.

Sayap bersenjata Hamas dan Jihad Islam dalam kenyataan berasingan pada Ahad berkata pejuang mereka telah melancarkan beberapa serangan hendap dan serangan menggunakan bom serta roket anti-kereta kebal ke atas tentera Israel di beberapa kawasan di Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN