HELSINGBORG: Seorang ibu muda berusia 24 tahun di sini didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Helsingborg, Sweden bagi kesalahan menganiaya anak perempuannya selepas memecahkan sebiji telur di dahi kanak-kanak itu kerana mengikut trend TikTok.
Kejadian yang berlaku musim panas lalu itu merupakan sebahagian daripada trend yang pernah tular dalam TikTok pada tahun 2023, menyaksikan ibu bapa seluruh dunia merakam aksi memecahkan telur di dahi anak kecil mereka dengan alasan sebagai hiburan.
Tindakan wanita terbabit mengundang kecaman hebat selepas videonya meraih lebih 100,000 tontonan sebelum dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Menurut keterangan di mahkamah, wanita terbabit pada mulanya memberitahu mereka akan membuat kek epal bersama dan merakam proses tersebut untuk dimuat naik ke TikTok namun tanpa disangka, dia memecahkan telur di dahi anaknya hingga menyebabkan kuning telur mengalir ke muka kanak-kanak itu.
Anaknya yang terkejut dengan kejadian itu menyatakan perbuatan ibunya menyakitkan dan memintanya berhenti, namun rakaman berkenaan tetap diteruskan dan dimuat naik ke media sosial.
Pendakwa raya, Cecilia Andersson berkata, tindakan wanita tersebut jelas bersifat menghina dan tidak berperikemanusiaan.
“Apabila saya melihat video itu, saya terus berfikir, ini bukan sesuatu yang patut dilakukan kepada seorang kanak-kanak. Merakam dan menghina seorang anak kemudian menyiarkannya kepada ribuan penonton adalah amat memalukan.
“Ini seorang anak kecil yang gembira kerana sangka akan membuat kek bersama ibunya. Tiba-tiba dia diperlakukan sebegitu. Ia adalah perbuatyang cuai dan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Bagaimanapun, wanita itu mempertahankan dirinya dengan mengatakan perbuatannya hanya sekadar mengikut trend yang tular dan tidak berniat untuk mencederakan anaknya.
Mahkamah bagaimanapun menolak pembelaan tersebut dan mensabitkannya kesalahan mengganggu ketenteraman serta emosi kanak-kanak terbabit dan memerintahkan wanita itu membayar denda sebanyak 20,000 kronor Sweden (RM9,800) kepada anaknya sebagai pampasan. – AGENSI