SRINAGAR: Veteran tentera India dikerah semula sebagai pengawal keselamatan di wilayah Kashmir yang dikawal India, menurut kenyataan kerajaan New Delhi pada Sabtu.
Menurut siaran media rasmi, kerajaan wilayah Kesatuan Jammu dan Kashmir sudah meluluskan cadangan menggerakkan bekas anggota tentera bagi melindungi infrastruktur penting di seluruh wilayah tersebut.
Sekurang-kurangnya 4,000 veteran sudah dikenal pasti sebagai sukarelawan bukan tempur dan daripada jumlah itu, 435 orang memiliki senjata api berlesen.
Kerajaan itu menambah, langkah tersebut dijangka dapat meningkatkan keupayaan bertindak balas secara berkesan terhadap situasi keselamatan setempat dengan ketara.
Veteran tersebut akan ditempatkan dalam peranan sebagai pengawal statik dengan fokus kepada pencegahan berasaskan kehadiran dan penyelarasan di peringkat tempatan.
Ketika ini, India telah menempatkan kira-kira setengah juta anggota tentera secara tetap di wilayah Kashmir yang menjadi rebutan.
Program sukarelawan veteran yang serupa pernah dilaksanakan semasa pandemik Covid-19 melibatkan seramai 2,500 bekas anggota tentera, menurut kerajaan India.