LONDON: Golongan pekerja muda didapati paling kerap memeriksa telefon bimbit mereka semasa waktu bekerja berbanding kumpulan usia lain, demikian menurut satu kajian baharu yang dijalankan oleh syarikat rangkaian mudah alih, Talkmobile.
Kajian yang melibatkan 2,000 rakyat Britain itu mendedahkan satu daripada empat (25 peratus) individu Generasi Z yang berusia antara 18 hingga 27 tahun memeriksa telefon mereka sekurang-kurangnya setiap lima minit semasa waktu kerja manakala satu pertiga (35 peratus) daripada mereka pula berbuat demikian setiap 10 minit untuk menyemak pesanan ringkas atau kemas kini media sosial.
Lebih mengejutkan, satu daripada 10 responden Gen Z mengakui mereka “sentiasa” memeriksa telefon bimbit ketika bekerja, manakala dua pertiga daripada mereka memandang sekilas ke arah peranti itu sekurang-kurangnya sekali setiap jam.
Talkmobile yang memenangi sembilan anugerah khidmat pelanggan sejak tahun lalu berkata, kajian tersebut merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk mempromosikan teknologi mudah dan tidak mengganggu rutin harian pengguna.
Golongan milenial yang berusia antara 28 hingga 43 tahun juga dilihat tidak kurang obsesnya dengan telefon pintar di tempat kerja kerana sebanyak 20 peratus daripada mereka memeriksa telefon setiap lima minit, dan 26 peratus pula melakukannya setiap 10 minit manakala tiga perempat (76 peratus) daripada kumpulan ini mengaku menyemak telefon sekurang-kurangnya sekali sejam.
Sebaliknya, golongan baby boomer yang berumur 60 tahun ke atas adalah yang paling jarang melihat telefon semasa bekerja di mana hanya dua peratus daripada mereka memeriksa peranti itu setiap lima atau 10 minit, manakala hanya 16 peratus yang berbuat demikian sekali setiap jam.
Tabiat ini bukan sahaja terhad di tempat kerja kerana suku daripada golongan Gen Z turut mengaku memeriksa telefon mereka semasa berada di pawagam, berbanding hanya 16 peratus daripada milenial namun begitu, mereka lebih berdisiplin dalam situasi sosial berbanding generasi lain di mana kajian tersebut menunjukkan milenial adalah paling cenderung untuk menggunakan telefon ketika bersama keluarga dan rakan-rakan.
Sebanyak 41 peratus daripada mereka tidak kisah melayari media sosial ketika keluar bersama rakan, berbanding 35 peratus bagi Gen Z.
Milenial (16 peratus) juga paling ramai menggunakan telefon semasa makan tengah hari Ahad bersama keluarga, berbanding Gen Z (13 peratus), Gen X (11 peratus), dan baby boomer (6 peratus).











