TOKYO: Kerajaan Jepun menggesa universiti di negara itu mempertimbangkan penerimaan pelajar Harvard yang terjejas susulan dasar kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS) melarang Harvard mendaftarkan pelajar antarabangsa.
Xinhua melaporkan, Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun berkata, universiti Jepun harus meneroka sokongan yang boleh diambil untuk membantu pelajar terbabit meneruskan pengajian mereka.
Universiti Tokyo dilaporkan mempertimbangkan penerimaan sementara pelajar Harvard yang terkesan.
Kira-kira 260 pelajar dan penyelidik dari Jepun kini mengikuti pengajian di universiti itu, menurut laporan media tempatan.
Walaupun Harvard memfailkan saman terhadap kerajaan Persekutuan dan seorang hakim Persekutuan di Massachusetts menyekat sementara larangan itu, kesan dasar itu terus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelajar antarabangsa semasa dan bakal pelajar di seluruh AS.
Kebimbangan juga semakin meningkat dalam kalangan pelajar antarabangsa yang kini sedang belajar atau merancang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti lain di AS selain Harvard.










