MELBOURNE: Tugu peringatan penjelajah terkenal Britian, Kapten James Cook yang kerap menjadi sasaran vandalisme di bandar Melbourne sudah dialihkan dan tidak akan diganti.
Datuk Bandar Yarra City, Stephen Jolly berkata, tugu granit dan gangsa yang terletak di kawasan tenggara bandar itu sudah beberapa kali menjadi sasaran pihak tertentu yang mahu menunjukkan bantahan terhadap legasi penjajahan Britain di Australia.
Tugu itu diconteng dengan kata-kata kesat dan ditumbangkan pada tahun lalu selain insiden pada tahun 2020 di mana semburan cat dengan kata-kata seperti ‘mengaibkan’ dan ‘hapuskan ketuanan kulit putih’.
Jolly dalam kenyataan tegas berkata, keputusan untuk tidak menggantikan tugu tersebut dibuat kerana ia hanya akan menjadi sasaran kerosakan sekali lagi.
“Saya tidak menyokong perbuatan merobohkan patung tokoh sejarah, walaupun tokoh itu bersifat kontroversi. Namun, sekiranya kita mendirikan semula tugu itu, ia pasti akan dirosakkan semula.
“Jika perkara ini terus berulang, bagaimana kita boleh mempertahankannya?” katanya.
Tugu-tugu tokoh penjajah seperti Cook sering dijadikan simbol protes oleh pihak yang mengenang penderitaan masyarakat Orang Asli Australia sejak zaman penjajahan.
Awal tahun ini, menjelang sambutan Hari Australia, sebuah lagi patung James Cook turut disimbah cat merah.
James Cook yang tiba di Teluk Botany pada tahun 1770 mengisytiharkan wilayah timur Australia sebagai milik Britain di bawah doktrin ‘terra nullius’ atau tanah tanpa pemilik, sekali gus mengenepikan kewujudan sejarah beribu-ribu tahun masyarakat Orang Asli di benua itu.–AFP










