WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pentadbirannya kini dalam fasa awal membangunkan sistem pertahanan peluru berpandu paling canggih dikenali sebagai ‘Golden Dome’ yang akan beroperasi sebelum beliau menamatkan penggal keduanya di Rumah Putih.
Menurut Trump, sistem tersebut direka khas untuk menangkis serangan udara generasi baharu terhadap keselamatan negara termasuk peluru berpandu balistik serta ancaman dari angkasa lepas.
Sebagai permulaan, peruntukan awal sebanyak AS$25 bilion (RM106.8 bilion) disediakan menerusi rang undang-undang belanjawan baharu namun pihak kerajaan menjangkakan jumlah sebenar yang akan dibelanjakan bakal meningkat berkali ganda dalam tempoh beberapa dekad akan datang.
“Semua peluru berpandu dari sebarang lokasi di dunia tidak kira dilancarkan dari daratan, lautan, atau dari angkasa akan dapat dipintas. Kadar kejayaannya sangat hampir dengan 100 peratus,” kata Trump dalam sidang media di Pejabat Oval, semalam.
Sistem Golden Dome itu diinspirasikan daripada sistem pertahanan Iron Dome milik Israel, namun berskala jauh lebih besar dan merangkumi keupayaan menghadapi pelbagai jenis senjata canggih, termasuk peluru berpandu hipersonik serta serangan kepala peledak dari angkasa lepas.
Projek ini dijangka merangkumi teknologi berasaskan darat, laut dan angkasa, termasuk penggunaan sensor serta pemintas yang beroperasi di orbit bumi.
Trump berkata, perbelanjaan keseluruhan dijangka mencecah AS$175 bilion (RM747 bilion), manakala Anggaran Belanjawan Kongres (CBO) menjangka kos sebenar bagi komponen angkasa lepas sahaja boleh mencecah sehingga AS$542 bilion (RM2.3 trilion) dalam tempoh 20 tahun.
Dokumen yang dikeluarkan Agensi Risikan Pertahanan (DIA) memaklumkan, ancaman peluru berpandu terhadap AS akan terus berkembang dari segi skala dan kecanggihan, dengan China dan Russia sedang membina sistem yang dirancang khusus untuk mengeksploitasi kelemahan sistem pertahanan sedia ada.-AFP










