WASHINGTON: Hubungan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kini dilihat semakin tegang apabila kedua-dua pemimpin itu tidak lagi sependapat dalam beberapa isu utama membabitkan rantau Asia Barat, menjelang lawatan Trump ke rantau tersebut yang tidak memasukkan Israel dalam jadual lawatan.
Menurut laporan harian Israel, Yedioth Ahronoth, pasukan Trump dilaporkan sudah tidak tahan lagi dengan keengganan Netanyahu untuk menyokong pendekatan baharu Washington terhadap situasi serantau, khususnya berhubung Iran dan Gaza.
Trump yang dahulunya antara pendokong kuat pendekatan ketenteraan Israel kini dilihat beralih arah, dengan menggesa penyelesaian diplomatik terhadap krisis nuklear Iran serta desakan agar perang di Gaza dihentikan.
Sebaliknya, Netanyahu terus bertegas tekanan ketenteraan termasuk serangan ke atas infrastruktur nuklear Iran perlu diteruskan.
Pada awal pentadbirannya, Trump menyokong penuh tindakan ketenteraan Israel di Gaza, membatalkan dasar era Biden yang menyekat penghantaran senjata ke Tel Aviv, serta menyenarai hitamkan kumpulan Houthi di Yaman sebagai organisasi pengganas malah, beliau pernah mencadangkan agar Gaza “dikuasai semula” dan dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.
Namun dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pendekatan Trump semakin berubah di mana beliau menghentikan tindakan ketenteraan terhadap kumpulan Houthi yang disokong Iran dan kini sedang giat mengusahakan rundingan langsung dengan Tehran.
Menurut laporan NBC News yang memetik seorang pegawai Amerika Syarikat, pemimpin Israel kini “sangat bimbang” sekiranya Washington memeterai sebarang perjanjian dengan Iran.
Netanyahu dilaporkan berang dengan keengganan Trump untuk meletakkan syarat pengharaman aktiviti pengayaan uranium dalam perjanjian nuklear yang sedang dirunding dan kebimbangan itu disuarakan secara rasmi oleh pegawai Israel kepada utusan khas Trump ke Asia Barat, yang kemudian secara terbuka mengkritik serangan baharu Israel di Gaza dan menyarankan agar satu perjanjian gencatan senjata serta pertukaran tebusan dilaksanakan.
Kerajaan Israel menegaskan Amerika Syarikat mesti menolak sebarang hasil perjanjian yang tidak melibatkan pembongkaran penuh program nuklear Iran di mana pegawai pertahanan negara tersebut percaya kelebihan strategik yang diperoleh hasil serangan udara ke atas sistem pertahanan Iran pada Oktober lalu akan terbuang begitu sahaja jika rundingan diteruskan.
Lawatan Trump ke Asia Barat yang dijadual bermula Selasa ini akan merangkumi kunjungan ke Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu, tetapi tidak termasuk Israel, satu isyarat jelas hubungan dua hala antara Washington dan Tel Aviv semakin renggang.
Kedua-dua pemimpin itu yang sebelum ini sering seiring dalam pendekatan luar negara kini dilihat berada di laluan berbeza, sekali gus menandakan perubahan besar dalam dinamik geopolitik Asia Barat. –AGENSI










