Trump enggan campur normalisasi Israel-Arab Saudi

Trump enggan campur normalisasi Israel-Arab Saudi

PUTERA Mohammed Salman (kanan) menerima kunjungan Donald Trump (kiri) di Lapangan Terbang Riyadh di Arab Saudi. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Impian Israel menormalisasikan hubungan dengan Arab Saudi dalam masa terdekat tidak kesampaian selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memilih berundur daripada usaha itu, malah membiarkan Riyadh sendiri memutuskannya.

Trump mengumumkan beberapa perjanjian besar dengan Arab Saudi melibatkan ratusan bilion dolar dalam bidang ekonomi dan pertahanan, namun isu pemulihan hubungan diplomatik antara Arab Saudi dan Israel langsung tidak disebut dalam kenyataan rasminya.

Dalam lawatannya ke Riyadh, Trump menyifatkan usaha menjalin hubungan rasmi tersebut sebagai satu ‘impian’, namun menegaskan perkara itu perlu dilakukan mengikut masa dan kehendak Arab Saudi sendiri.

Pendekatan ini dilihat sebagai tamparan besar kepada Israel yang sebelum ini begitu yakin dengan janji pentadbiran bekas Presiden, Joe Biden untuk menjadikan usaha normalisasi antara Arab Saudi dan Israel sebagai keutamaan dalam dasar luar AS di Asia Barat.

Menurut Felo Institut Negara-Negara Teluk Arab, Anna Jacobs, pentadbiran Trump kini lebih terbuka untuk meneruskan perjanjian penting dengan Arab Saudi tanpa meletakkan syarat Riyadh perlu terlebih dahulu memulihkan hubungan dengan Israel.

“Ini mungkin mencerminkan kekecewaan yang semakin meningkat dalam pentadbiran Trump terhadap tindakan ketenteraan Israel di seluruh rantau, terutamanya di Gaza,” katanya.

Felo Asia Institut Baker, Kristian Coates Ulrichsen pula berpendapat, perang yang masih berlarutan di Gaza serta keengganan Israel untuk berunding mengenai penubuhan negara Palestin menyebabkan usaha ke arah perjanjian normalisasi dengan Arab Saudi tidak lagi realistik pada masa ini.

Semasa penggal pertamanya, Trump merintis Perjanjian Abraham yang menyaksikan Israel menjalinkan hubungan rasmi dengan beberapa negara Arab seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), tanpa menyentuh isu Palestin.

Bagaimanapun, perjanjian tersebut tidak berjaya menyelesaikan konflik Israel-Palestin, seperti yang dibuktikan dengan tercetusnya perang di Gaza pada Oktober 2023.

Pentadbiran Biden sebelum ini merancang satu perjanjian yang melibatkan pakatan keselamatan antara Washington dan Riyadh serta sokongan AS terhadap pembangunan program nuklear awam Arab Saudi sebagai pertukaran untuk normalisasi hubungan dengan Israel.

Dalam kunjungan terbaharunya ke Riyadh, Trump turut mengumumkan perjanjian bernilai AS$142 billion (RM611 billion) dengan Arab Saudi yang merangkumi kerjasama keselamatan lebih mendalam antara kedua-dua negara.

Menurut kenyataan Rumah Putih, perjanjian itu akan membekalkan Riyadh dengan peralatan dan perkhidmatan peperangan tercanggih daripada syarikat-syarikat AS serta latihan dan sokongan meluas bagi membangunkan keupayaan angkatan tentera.

Ia juga merangkumi peningkatan akademi ketenteraan dan perkhidmatan perubatan tentera Arab Saudi sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan keselamatan negara itu.

Semalam, Arab Saudi turut memeterai perjanjian pelaburan bernilai lebih AS$300 bilion (RM1.4 trilion) AS.

Perkara itu diumumkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman dalam ucapan beliau sempena Forum Pelaburan Arab Saudi-AS di ibu negara selain mendedahkan Riyadh bersetuju membuka peluang pelaburan mencecah AS$600 bilion (RM2.6 trilion) dan berharap jumlah itu meningkat sehingga AS$1 trilion (RM17.2 trilion).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN