Trump bakal tetapkan kadar tarif baharu terhadap puluhan negara - Utusan Malaysia

Trump bakal tetapkan kadar tarif baharu terhadap puluhan negara

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABU DHABI: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan Washington akan menghantar surat kepada beberapa rakan dagang utama untuk menetapkan kadar tarif baharu.

“Kami memiliki 150 negara yang mahu membuat perjanjian serentak tetapi kami tidak mampu untuk berjumpa dengan begitu banyak negara,” katanya dalam satu pertemuan bersama pemimpin perniagaan di Emiriah Arab Bersatu sempena lawatan ke rantau Teluk.

Trump memberitahu, Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent dan Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick akan menghantar surat bagi memaklumkan beberapa rakan dagang tentang kadar tarif baharu yang akan dikenakan ke atas eksport barangan mereka ke pasaran AS.

Namun, tidak jelas sama ada tarif baharu itu akan ditambah kepada yang sedia ada atau pelarasan kadar yang lebih tinggi atau rendah.

Kenyataan Trump ini menyerlahkan cabaran besar yang dihadapi pentadbirannya selepas mengenakan cukai sempadan menyeluruh terhadap semua barangan import pada 2 April lalu yang diisytiharkan sebagai ‘hari pembebasan’ oleh presiden itu.

Selepas berdepan tindak balas negatif di pasaran bon, Washington telah menarik semula beberapa langkah paling tegasnya termasuk menggantung kadar tarif timbal balik terhadap banyak rakan dagang seperti Kesatuan Eropah (EU), mencapai perjanjian perdagangan dengan United Kingdom untuk menurunkan tarif serta bersetuju dengan tempoh bertenang 90 hari bersama China.

Satu tarif sejagat sebanyak 10 peratus terhadap semua barangan import asing kekal dikuatkuasakan.

Awal minggu ini, Trump memuji penetapan semula sepenuhnya hubungan perdagangan antara AS dan China selepas kedua-dua negara bersetuju untuk menurunkan kadar tarif.

China telah mengurangkan duti terhadap barangan AS kepada 10 peratus manakala AS menurunkan cukai ke atas barangan China kepada 30 peratus.

Rumah Putih memberi isyarat mereka kini memberi keutamaan kepada rundingan dengan puluhan rakan dagang utama termasuk India, Korea Selatan dan Jepun sementara rundingan bersama EU masih berjalan.

Namun, kenyataan Trump menunjukkan bahawa Washington tidak memiliki kapasiti mencukupi untuk berunding dengan ratusan negara secara serentak sebaliknya bakal mengambil pendekatan untuk menetapkan syarat secara sepihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN