Trak bantuan sudah masuk ke Gaza

Trak bantuan sudah masuk ke Gaza

TRAK membawa bantuan kemanusiaan melalui lintasan Kerem Shalom antara selatan Israel dan Semenanjung Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Kira-kira 90 buah trak yang membawa tepung, makanan bayi dan suplemen pemakanan berjaya memasuki Semenanjung Gaza lewat malam Rabu, kumpulan pertama bantuan kemanusiaan yang tiba ke wilayah terkepung itu dalam tempoh lebih dua bulan.

Menurut pegawai tempatan dan agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), trak-trak bantuan ini akhirnya bergerak melalui lintasan Kerem Shalom selepas tertangguh beberapa hari kerana isu keselamatan di laluan tunggal yang diluluskan Israel untuk proses agihan.

Bagaimanapun, jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, pihak berkuasa Israel hanya membenarkan pasukannya melalui satu kawasan yang sangat sesak, tidak selamat dan berisiko tinggi berlaku kecurian.

“Kami sedang berunding dengan pihak Israel untuk mencari laluan alternatif di dalam Gaza. Kami membawa masuk trak-trak kosong dari pelbagai kawasan di Gaza untuk mengambil bekalan. Ada trak yang sudah dimuatkan dan sedia untuk dihantar,” katanya.

Rakaman video menunjukkan trak yang sarat dengan muatan bergerak dalam kegelapan di jalan utama selatan Gaza tular di media sosial sejak semalam.

Menurut Timbalan Ketua Kesatuan Pengangkutan Gaza, Jihad Isleem, dua daripada konvoi trak diserang dan dalam satu video, sekumpulan lelaki dilihat merobek beg-beg tepung.

Selepas sekatan selama 11 minggu, Israel secara tiba-tiba mengumumkan pada Ahad lalu untuk membenarkan sejumlah kecil makanan masuk ke Gaza.

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata, tindakan itu terpaksa diambil untuk meredakan tekanan daripada sekutu antarabangsa yang bimbang dengan krisis kebuluran besar-besaran di Gaza.

Pakar pemakanan memberi amaran bahawa lebih dua juta penduduk Gaza kini menghadapi risiko kebuluran.

“Kami makan apa sahaja untuk terus hidup tetapi sudah seminggu kami tidak makan roti. Dulu kami bergantung kepada bantuan, tetapi kini tiada lagi.

“Apa harus kami lakukan? Ke mana kami mahu pergi? Kepada siapa kami boleh meminta bantuan?” kata ibu kepada lima anak, Om Yousif, 46, dari Deir al-Balah di Gaza tengah.

PENDUDUK MASIH KELAPARAN

Pada awalnya, pihak berkuasa Israel memaklumkan kepada agensi bantuan, mereka akan membenarkan 100 trak sehari melalui Kerem Shalom selama lima hari bermula Isnin hingga Jumaat.

Namun, menurut Pengarah Program Makanan Dunia (WFP), Antoine Renard, Gaza sebenarnya memerlukan sekurang-kurangnya 500 trak sehari bagi memenuhi keperluan penduduk.

“Tiada satu pun bantuan yang sangat terhad ini sampai kepada penduduk Gaza. Ribuan tan makanan dan bekalan penting masih menunggu di kawasan lintasan sempadan untuk dibawa masuk.

“Tetapi, selagi agihan tidak dapat dilakukan dengan selamat, kira-kira satu per empat daripada populasi Gaza kekal berisiko tinggi menghadapi kebuluran,” jelas Renard.

Pegawai bantuan dan pengusaha tempatan berkata, bekalan yang masuk kelmarin masih belum sampai ke dapur awam, kedai roti, pasar atau hospital di Gaza.

Kenyataan ini turut disahkan oleh pengusaha kedai roti yang sudah bersiap sedia untuk menerima bekalan tepung, tetapi sehingga kini masih belum menerima sebarang penghantaran.

Seorang penduduk, Mahmoud al-Haw berkata, dia sering menunggu sehingga enam jam setiap hari, dengan harapan mendapat sedikit sup kacang dal demi memastikan anak-anaknya terus hidup.

“Saya di sini sejak pukul lapan pagi, hanya untuk dapatkan satu pinggan makanan untuk dikongsi dengan enam orang, sedangkan hidangan itu tidak cukup untuk seorang pun,” katanya.

Sementara itu, kumpulan perubatan Doctors Without Borders menuduh Israel menggunakan jumlah bantuan yang terlalu kecil sebagai alasan untuk menutup hakikat yang sekatan sebenarnya masih berterusan.

Bagi Wissam, seorang bapa kepada enam anak, perjuangan harian adalah untuk mendapatkan makanan yang mencukupi dan kini mereka hanya makan kacang dal, tanpa roti kerana harga tepung sudah menjadi terlalu mahal.

“Saya harap bantuan itu akan sampai segera.Kami perlukan bantuan itu untuk terus hidup,” katanya.

SERANG DIPLOMAT

Ketegangan semakin memuncak pada Rabu apabila tentera Israel melepaskan tembakan amaran ke arah delegasi diplomat terdiri daripada wakil lebih 20 negara termasuk PBB yang melawat kem pelarian Jenin di Tebing Barat.

Kanada, Perancis, Itali dan Sepanyol mengesahkan diplomat mereka berada dalam rombongan tersebut ketika insiden berlaku.

Menteri Luar Kanada, Anita Anand berkata, empat wakil dari negaranya terlibat dalam insiden itu dan beliau sudah memanggil duta Israel untuk menyampaikan bantahan rasmi.

“Kami menuntut siasatan penuh dan tindakan susulan,” kata Anand di platform X. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN