BOSTON: Tindakan pentadbiran Presiden Donald Trump menghalang Universiti Harvard untuk mengambil pelajar asing dalam satu langkah terbaharu semalam menyebabkan imej dan kredibiliti institusi pengajian itu tercalar.
Langkah itu juga menyaksikan pelajar asing sedia ada di universiti tersebut terpaksa berpindah ke institusi pengajian lain atau kehilangan status undang-undang mereka.
Trump turut mengancam untuk mengenakan pendekatan serupa terhadap universiti lain.
Setiausaha Dalam Negeri AS, Kristi Noem mengarahkan jabatan itu menamatkan pensijilan Program Pelajar Asing dan Pertukaran Universiti Harvard.
Noem menuduh universiti berkenaan ‘memupuk keganasan, antisemistisme dan selaras dengan Parti Komunis China’.
Sebagai reaksi, Harvard menyifatkan keputusan tersebut sebagai tidak sah dan menjejaskan ribuan pelajar.
Langkah itu dibuat selepas Harvard enggan memberikan maklumat yang diminta Noem sebelum ini mengenai beberapa pemegang visa pelajar asing di universiti berkenaan.
Seramai 6,800 pelajar asing berdaftar di Harvard pada 2024 sehingga 2025 dengan 27 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar.
Pada 2022, pelajar dari China menjadi populasi terbesar bagi pelajar asing di Harvard iaitu seramai 1,016 orang, diikuti Kanada, India, Korea Selatan, United Kingdom, Australia, Singapura dan Jepun.
China mengkritik langkah tersebut dengan menyifatkannya bermotif politik.
Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning berkata, Beijing sentiasa menolak sebarang motif politik dalam sektor pendidikan.
“Tindakan yang dilakukan pentadbiran Trump itu hanya menjejaskan imej dan pandangan antarabangsa terhadap Washington,” katanya.
Jurucakap universiti, Jason Newton berkata, Harvard berusaha memberikan panduan dan sokongan kepada komunitinya.
Beliau turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai balas dendam yang mengancam kesejahteraan Harvard dan AS, selain menjejaskan misi akademik dan penyelidikan.
Profesor Ekonomi Harvard dan bekas pegawai pentadbiran Presiden Barack Obama, Jason Furman pula menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang ‘mengerikan dari setiap sudut’.
“Adalah mustahil untuk membayangkan Harvard tanpa pelajar antarabangsa kami yang luar biasa. Mereka memberi sumbangan besar kepada semua pihak di sini, termasuk kepada inovasi dan juga kepada AS secara keseluruhan.
“Pendidikan tinggi merupakan antara eksport terpenting Amerika dan sumber utama negara ini. Saya berharap dasar ini dapat dihentikan segera sebelum kerosakannya menjadi lebih parah,” katanya.










