CALIFORNIA: Tesla menafikan dakwaan lembaga pengarahnya menjalankan proses mencari Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu bagi menggantikan Elon Musk, seperti yang dilaporkan akhbar Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.
Pengerusi Tesla, Robyn Denholm dalam kenyataan rasmi di akaun X milik syarikat itu menyifatkan laporan tersebut sebagai “sama sekali tidak benar”, sambil menegaskan lembaga pengarah yakin penuh terhadap kemampuan Musk dalam melaksanakan pelan pertumbuhan syarikat yang dikatakan “sangat mengujakan”.
WSJ sebelum ini memetik sumber tidak dinamakan lembaga Tesla telah menghubungi firma pencari eksekutif pada Mac lalu untuk mencari pengganti Musk, susulan kehadiran beliau yang dikatakan semakin berkurangan di Tesla akibat penglibatannya dengan pentadbiran White House menerusi inisiatif Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE).
Saham Tesla (TSLA) dilaporkan jatuh sehingga 45 peratus sejak awal tahun sebelum kembali pulih sedikit berikutan pemulihan pasaran secara keseluruhan.
Pada April lalu, Tesla turut merekodkan kejatuhan ketara dalam jualan dan keuntungan bagi suku pertama, dengan pendapatan merosot sebanyak 71 peratus, satu perkembangan mengejutkan yang berlaku serentak dengan pengumuman Musk beliau akan mengurangkan peranannya dalam kerajaan dan kembali memfokus kepada Tesla.
Meskipun laporan WSJ menyebut pencarian CEO baharu telah dimulakan, status pencarian itu menjadi tidak jelas selepas Musk mengumumkan kepulangannya ke Tesla.
Menurut laporan tersebut, pada waktu sama, lembaga pengarah Tesla juga telah memaklumkan kepada Musk beliau perlu lebih kerap hadir dalam urusan syarikat dan beliau dilaporkan tidak membantah arahan itu.
Dalam masa sama, Musk turut berdepan tekanan dalaman di Tesla, termasuk protes berterusan di luar bilik pameran syarikat itu serta kerosakan imej dalam kalangan penyokong awal jenama tersebut.
Tumpuan beliau terhadap laman sosial X dan kecenderungannya membuat kenyataan bersifat teori konspirasi dan mempromosikan propaganda pelampau kanan juga menjadi isu, selain hubungan eratnya dengan pentadbiran Trump yang menimbulkan kontroversi di pasaran luar negara seperti China.
Pertelingkahan perdagangan antara AS dan China turut memberi kesan kepada jualan Tesla di China namun, tindakan Trump melonggarkan cukai import terhadap alat ganti kenderaan baru-baru ini dijangka memberi kelegaan kepada Tesla yang banyak mengimport alat ganti, meskipun kebanyakan kenderaannya dikilang di Amerika Syarikat. -AGENSI