BERLIN: Serpihan kapal angkasa era Soviet yang berada di orbit selama lebih lima dekad dipercayai sudah memasuki atmosfera bumi semalam, menurut Agensi Angkasa Eropah (ESA).
Pesawat angkasa Kosmos 482, yang dilancarkan pada tahun 1972 dalam misi ke Zuhrah, gagal mencapai orbit planet tersebut dan sebaliknya terperangkap dalam orbit bumi.
Sejak itu, ia terpecah kepada empat bahagian yang terus mengelilingi planet ini selama lebih 50 tahun.
Pusat Pemantauan dan Penjejakan Angkasa EU (SST) melaporkan satu daripada serpihan yang dipercayai kapsul pendaratan kemungkinan besar sudah memasuki atmosfera pada sekitar pukul 6.16 GMT pada Sabtu.
Namun, lokasi sebenar kemasukan semula objek ini masih belum dapat dipastikan, dan tidak jelas sama ada ia terbakar sepenuhnya di atmosfera atau ada bahagian yang jatuh ke permukaan bumi.
Pakar menyatakan kemungkinan besar serpihan ini jatuh ke laut, memandangkan 70 peratus permukaan bumi diliputi oleh air.
Stijn Lemmens, penganalisis kanan di ESA, menjelaskan kebarangkalian seseorang terkena serpihan ini adalah lebih kecil daripada peluang memenangi loteri.
Kosmos 482 pada asalnya direka untuk bertahan dalam keadaan ekstrem di atmosfera Zuhrah, dengan perisai haba yang kukuh dan struktur yang tahan lasak.
Oleh itu, pakar percaya ia mungkin telah bertahan dalam kemasukan semula yang tidak terkawal ke atmosfera bumi.
Namun, sistem payung terjun yang sepatutnya memperlahankan pendaratan kapsul di Zuhrah dipercayai telah rosak selepas lebih 50 tahun di angkasa, menjadikan impak kemasukan semula ini lebih sukar untuk diramalkan.
ESA menekankan kemasukan semula objek buatan manusia ke atmosfera bumi berlaku secara kerap – mingguan bagi pesawat angkasa yang lebih besar dan harian bagi serpihan yang lebih kecil.
Biasanya, objek ini terbakar sepenuhnya sebelum mencapai permukaan bumi.










