Serangan dron besar-besaran Ukraine jejas trafik lapangan terbang Russia

Serangan dron besar-besaran Ukraine jejas trafik lapangan terbang Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Beberapa lapangan terbang di Russia terpaksa menghadkan operasi selepas Ukraine melancarkan lebih 100 serangan dron semalaman, termasuk ke arah Moscow hanya beberapa hari sebelum perarakan sambutan kemenangan Perang Dunia Kedua.

Menurut Kementerian Pertahanan Russia, sebanyak 105 dron dilancarkan oleh Ukraine dalam serangan malam tadi.

Serangan itu berlaku menjelang perarakan besar pada 9 Mei di Moscow, yang bakal disertai Presiden, Vladimir Putin dan beberapa pemimpin dunia bagi memperingati ulang tahun ke-80 tamatnya Perang Dunia Kedua.

Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin berkata, sistem pertahanan udara Russia menembak jatuh 19 dron di sekitar Moscow dan serpihannya jatuh di sebuah jalan utama di selatan bandar raya itu, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Agensi berita Russia melaporkan, sekatan penerbangan dikenakan di lebih 12 lapangan terbang, termasuk empat lapangan terbang utama di Moscow.

Lapangan terbang di beberapa bandar lain seperti Volgograd dan Nizhny Novgorod turut terkesan.

Bagaimanapun, operasi di Lapangan Terbang Sheremetyevo dilaporkan tidak terjejas teruk.

Media tempatan turut menyiarkan gambar sebuah tingkap pasar raya yang retak dan bangunan kediaman yang hangus di Moscow akibat serangan tersebut.

Gabenor wilayah Voronezh dan Penza memaklumkan masing-masing 18 dan 10 dron Ukraine telah dipintas di kawasan mereka tanpa menyebabkan kecederaan.

Di wilayah Kursk, pemangku Gabenor, Alexander Khinshtein berkata, serangan dron yang dilancarkan Ukraine ke atas wilayah Kursk mengorbankan tiga orang dan mencederakan tujuh yang lain.

“Serangan dron Ukraine turut mencederakan orang awam di daerah Glushkovsky, sebuah kawasan yang terletak berhampiran sempadan Ukraine-Russia,” katanya.

Jelasya, serangan turut berlaku ke atas sebuah pencawang elektrik di bandar Rylsk pada lewat malam Isnin, menyebabkan dua remaja cedera.

“Akibat serangan tersebut, dua pencawang rosak dan seluruh kawasan terputus bekalan elektrik,” katanya di Telegram.

Sementara itu, di Ukraine, satu serangan dron Russia di wilayah Odesa mengorbankan seorang mangsa, menurut Gabenor Oleg Kiper pada malam Isnin.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya