LONDON: Ketika Britain bersedia menyambut ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua minggu ini, satu tinjauan mengejutkan mendapati hampir separuh rakyat negara itu tidak sanggup mengangkat senjata bagi mempertahankan tanah air sekiranya berlaku peperangan.
Menurut tinjauan oleh firma penyelidikan Ipsos terhadap lebih 1,000 responden dewasa, sebanyak 48 peratus menyatakan tidak ada sebarang keadaan yang mendorong mereka untuk pergi berperang.
Hanya 35 peratus atau kira-kira satu daripada tiga orang menyatakan kesediaan untuk berjuang, manakala 17 peratus lagi tidak pasti.
Data menunjukkan lelaki (49 peratus) lebih cenderung untuk menyertai peperangan berbanding wanita (21 peratus).
Golongan muda berumur antara 18 hingga 34 tahun merupakan kumpulan paling bersedia untuk berkhidmat dalam angkatan bersenjata dengan 42 peratus menyatakan kesanggupan.
Namun, mereka yang berumur antara 35 hingga 54 tahun adalah paling kurang bersedia dengan hanya 28 peratus, malah lebih separuh dalam kumpulan umur itu menyatakan langsung tidak akan berperang dalam apa jua keadaan.
Mengikut pecahan sokongan politik, penyokong Reform UK merupakan golongan paling ramai sanggup berperang, manakala penyokong Liberal Demokrat paling ramai menolak.
Bekas pegawai tentera Britain, Mejar Richard Gill yang pernah berkhidmat di Iraq dan Afghanistan selama 15 tahun menyifatkan dapatan itu sebagai gejala kemerosotan semangat nasional dalam kalangan rakyat Britain.
“Kita tidak lagi mendidik rakyat untuk berbangga dengan negara sendiri, sejarahnya dan nilai-nilainya. Sebuah negara yang tidak yakin dengan identitinya sendiri tidak boleh mengharapkan rakyatnya mempertahankannya,” katanya.