NICE: Pihak berkuasa Perancis pada Ahad menyalahkan perbuatan sabotaj sebagai punca kebakaran di sebuah pencawang elektrik di Nice yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik besar-besaran kedua dalam tempoh dua hari di sepanjang kawasan Riviera.
Kebakaran terbaru itu memutuskan bekalan elektrik kepada kira-kira 45,000 kediaman di bahagian barat Nice selama beberapa jam dan langkah keselamatan turut dipertingkatkan susulan insiden tersebut, menurut kenyataan pihak berkuasa.
Lapangan Terbang Nice turut mengalami gangguan elektrik buat seketika, kata Timbalan Datuk Bandar Nice, Gael Nofri kepada AFP.
Sehari sebelumnya, satu serangan pembakaran serupa terhadap sebuah pencawang kuasa telah mengganggu sebahagian daripada hari terakhir Festival Filem Cannes memaksa penganjur menggunakan penjana kuasa sokongan untuk meneruskan acara.
Pihak pendakwa berkata siasatan telah dibuka dan mereka sedang menyiasat satu tuntutan oleh dua kumpulan anarkis terhadap serangan tersebut ke atas infrastruktur elektrik di Côte d’Azur. Tuntutan itu telah dipaparkan di sebuah laman web alternatif.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan jenayah yang menyerang negara kita ini,” kata Datuk Bandar Nice, Christian Estrosi di platform X.
“Kami telah menyerahkan rakaman dari pusat pemantauan bandar kepada pihak penyiasat dan akan mempertingkatkan jaringan keselamatan di lokasi strategik elektrik dalam masa terdekat.
“Selagi pelaku belum ditangkap, kami tidak akan melonggarkan pengawasan di mana-mana lokasi,” kata Estrosi kepada wartawan.
Ketua Pendakwa Raya Nice, Damien Martinelli berkata kajian telah dijalankan untuk mengenal pasti kerosakan serta kaedah yang digunakan dalam serangan tersebut, dan polis kini menyiasat kes ini sebagai pembakaran oleh kumpulan terancang.
Polis turut mendedahkan bahawa kesan tayar telah ditemui berhampiran pencawang di Nice dan terdapat tanda-tanda pencerobohan ke dalam salah satu bilik di bangunan tersebut.
Serangan pembakaran ke atas pencawang kuasa dan cubaan merobohkan tiang voltan tinggi berhampiran Cannes pada Sabtu menyebabkan 160,000 kediaman terputus bekalan elektrik selama lima jam. -AGENSI











