Russia lancar serangan dron terbesar sejak perang Ukraine bermula

Russia lancar serangan dron terbesar sejak perang Ukraine bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Russia melancarkan serangan dron terbesar terhadap Ukraine sejak permulaan perang, sehari sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dijadualkan berbincang mengenai cadangan gencatan senjata dengan Presiden Vladimir Putin.

Serangan pada Ahad memusnahkan rumah dan mengorbankan sekurang-kurangnya seorang wanita.

Tentera Ukraine mendakwa, setakat pagi kelmarin, Russia melancarkan 273 dron ke bandar-bandar negara itu, melebihi rekod sebelumnya yang dicatat oleh Moscow pada Februari sempena ulang tahun ketiga perang tersebut.

Perkhidmatan perisikan Ukraine percaya Moscow bercadang melancarkan peluru berpandu balistik antara benua kelmarin, sebagai cubaan menakut-nakutkan Barat.

Tiada maklum balas daripada Moscow terhadap dakwaan tersebut.

Terdahulu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, dilaporkan bertemu dengan Naib Presiden AS, JD Vance dan Setiausaha Negara, Marco Rubio di Rom, di luar acara pertabalan Paus Leo, kelmarin.

Beliau berkata, pertemuan itu berjalan ‘baik dan lancar’.

Media Ukraine melaporkan, pertemuan tersebut berlangsung selama 40 minit.

“Saya menegaskan semula Ukraine bersedia untuk terlibat dalam diplomasi sebenar dan menekankan kepentingan gencatan senjata penuh serta tanpa syarat secepat mungkin,” kata Zelensky.

Ukraine dan Russia mengadakan rundingan secara bersemuka buat kali pertama dalam tempoh lebih tiga tahun sejak 2022 pada Jumaat lalu, di bawah tekanan Trump untuk bersetuju dengan gencatan senjata dalam perang yang dijanjikan akan segera berakhir.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk menukar 1,000 tahanan masing-masing, namun gagal mencapai persetujuan gencatan senjata selepas Moscow mengemukakan syarat yang tidak diterima oleh delegasi Ukraine.

Pemimpin Britain, Perancis, Jerman dan Poland merancang untuk berbincang dengan Trump sebelum Presiden AS itu menghubungi Russia pada Isnin, kata Canselor Jerman, Friedrich Merz.

Empat pemimpin Eropah itu melawat Kyiv minggu lalu dan menggesa Trump supaya menyokong sekatan baharu terhadap Russia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN