WASHINGTON: Republikan mencadangkan pemansuhan kredit cukai kenderaan elektrik (EV), sebagai sebahagian daripada rang undang-undang pembaharuan cukai yang menyeluruh.
Cadangan di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) itu turut merangkumi pemansuhan peraturan kecekapan bahan api yang direka untuk mendorong pembuat kereta membina lebih banyak kenderaan sifar pelepasan.
Cadangan yang ditetapkan untuk pendengaran jawatankuasa berkaitan pada Selasa itu akan memansuhkan kredit cukai kenderaan baharu bernilai AS$5,700 (RM24,716) dan kredit kenderaan terpakai AS$4,000 (RM17,344) pada 31 Disember, walaupun ia mengekalkan kredit kenderaan baharu untuk tahun tambahan bagi pengeluar yang belum menjual 200,000 EV.
Presiden Persatuan Pengangkutan Pemanduan Elektrik, Genevieve Cullen mengkritik cadangan tersebut, menyifatkannya sebagai langkah mundur yang boleh menjejaskan peranan utama AS dalam inovasi tenaga dan usaha ke arah pengangkutan elektrik.
Beliau berkata, cadangan itu akan memberikan kelebihan pasaran yang besar kepada pesaing seperti China dan mengancam sektor pembuatan serta pekerjaan di AS.
Perbendaharaan AS pada tahun lepas memberikan lebih AS$2 bilion (RM8.67 bilion) dalam bentuk rebat tempat jualan untuk EV.
Cadangan tersebut mengekalkan kredit cukai utama untuk pengeluaran bateri bagi pembuat kereta dan pengeluar bateri.
Namun, peruntukan baharu akan melarang pemberian kredit tersebut kepada kenderaan yang menggunakan komponen beberapa syarikat China atau di bawah perjanjian lesen dengan firma China.
Peruntukan itu, yang dijangka berkuat kuasa pada 2027, boleh menghalang pemberian kredit kepada kereta menggunakan teknologi bateri China yang dilesenkan oleh syarikat AS seperti Ford Motor atau Tesla.
Parti Presiden Donald Trump itu juga mencadangkan untuk penamatan program pinjaman yang menyokong pengeluaran kenderaan berteknologi tinggi tertentu.
Ia turut mencadangkan pembatalan dana yang belum digunakan dan mengetepikan peraturan kecekapan bahan api serta pelepasan gas rumah hijau bermula tahun 2027.










