NAIROBI: Dua remaja warga Belgium yang didapati memiliki 5,000 ekor semut di Kenya diberi pilihan untuk membayar denda sebanyak AS$7,700 (RM36,000) atau menjalani hukuman penjara selama 12 bulan, hukuman maksimum bagi kesalahan melanggar undang-undang pemuliharaan hidupan liar.
Pihak berkuasa memaklumkan semut-semut tersebut dipercayai akan dihantar ke pasaran Eropah dan Asia. Kejadian ini mencerminkan satu trend baharu dalam penyeludupan spesies hidupan liar yang kurang dikenali.
Dua warga Belgium terbabit, Lornoy David dan Seppe Lodewijckx, masing-masing berusia 19 tahun ditahan pada 5 April di sebuah rumah tumpangan di daerah Nakuru yang terkenal dengan beberapa taman negara. Mereka didakwa di mahkamah pada 15 April.
Majistret Njeri Thuku yang bersidang di mahkamah Lapangan Terbang Utama Kenya pada Rabu berkata dalam keputusannya bahawa walaupun kedua-dua remaja itu mendakwa mereka naif dan mengumpul semut sebagai hobi, spesies semut yang dikumpul adalah bernilai tinggi dan jumlah yang dimiliki mereka sangat banyak.
Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS) menyatakan bahawa remaja berkenaan terlibat dalam penyeludupan semut untuk pasaran luar negara, termasuk spesies messor cephalotes, sejenis semut penuai besar berwarna merah yang berasal dari Afrika Timur.
“Hobi ini telah melampaui batas. Malah, kini terdapat kekurangan ketara semut messor cephalotes di pasaran atas talian,” ujar Thuku dalam penghakimannya.
KWS dalam satu kenyataan berkata penyeludupan haram semut itu bukan sahaja menjejaskan hak kedaulatan Kenya terhadap biodiversitinya malah merugikan komuniti tempatan dan institusi penyelidikan dari segi potensi faedah ekologi dan ekonomi.
Seorang warga Vietnam Duh Hung Nguyen memberitahu mahkamah bahawa dia dihantar untuk mengambil semut tersebut dan tiba di lapangan terbang utama Kenya di mana dia bertemu dengan individu penghubungnya, Dennis Ng’ang’a.
Mereka kemudian bertemu dengan penduduk tempatan yang menjual semut itu.
Ng’ang’a, yang berasal dari Kenya menyatakan dia tidak mengetahui perbuatan itu adalah salah kerana semut sering dijual dan dimakan penduduk tempatan.