Tayangan filem Jepun ditangguhkan di China

Tayangan filem Jepun ditangguhkan di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Tayangan sekurang-kurangnya dua filem Jepun akan ditangguhkan di China, menurut laporan media kerajaan ketika pertikaian diplomatik antara Beijing dan Tokyo semakin memuncak.

Menurut China Film News lewat Isnin, tayangan filem import Jepun, Crayon Shin-chan the Movie: Super Hot! The Spicy Kasukabe Dancers dan Cells at Work! akan ditangguhkan.

Saluran media itu diselia oleh China Film Administration yang disokong kerajaan.

Kedua-dua filem animasi itu asalnya dijadualkan ditayangkan pada 6 Disember dan 22 November, menurut laman ulasan Douban.

“Penyesuaian ini adalah keputusan berhati-hati berdasarkan penilaian keseluruhan prestasi pasaran filem import Jepun dan sentimen penonton China.

“Komen provokatif Jepun pasti akan menjejaskan persepsi penonton China terhadap filem Jepun,” kata China Film News dalam artikel yang disiarkan di WeChat, memetik pengimport dan pengedar filem.

Kenyataan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi yang mencadangkan Tokyo mungkin campur tangan secara ketenteraan sekiranya berlaku serangan terhadap Taiwan mencetuskan pertikaian hingga menyebabkan duta dipanggil dan amaran perjalanan dikeluarkan.

China menganggap Taiwan yang demokratik sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan sering mengugut untuk menggunakan kekerasan bagi membawa pulau yang ditadbir sendiri itu di bawah kawalannya.

Kelmarin, Beijing turut menasihatkan warganegara China untuk mengelak daripada melancong ke Jepun, manakala Jepun menasihatkan warganegaranya di China supaya berhati-hati terhadap persekitaran mereka dan mengelak daripada berkumpul di tempat awam.

Beijing memanggil duta Jepun minggu lalu, manakala Tokyo berkata, pihaknya sudah memanggil duta China berikutan satu kiriman dalam talian yang dianggap tidak sesuai dan kini sudah dipadam.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN