COPENHAGEN: Kesatuan Eropah (EU) menjangkakan Presiden Rusia, Vladimir Putin tidak akan hadir dalam rundingan damai bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang dijadual berlangsung di Turkiye minggu ini.
Pertemuan yang dijadual pada Khamis di Istanbul itu bakal menjadi rundingan terus pertama antara pegawai tertinggi Ukraine dan Rusia sejak awal pencerobohan Moscow ke atas Ukraine pada tahun 2022.
Zelensky sebelum ini telah menggesa Putin supaya hadir sendiri dalam rundingan yang pada asalnya dicadangkan oleh pemimpin Kremlin itu sendiri namun sehingga kini, Rusia masih belum memberi sebarang maklum balas terhadap jemputan tersebut.
“Saya fikir langkah untuk duduk berunding adalah baik. Tapi saya tidak fikir Putin berani hadir,” kata Ketua diplomat Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas semasa menyampaikan ucapan pada satu persidangan demokrasi di Copenhagen, semalam.
Beliau berkata, sudah lebih dua bulan Ukraine bersetuju dengan gencatan senjata tanpa syarat, namun tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif dari pihak Rusia.
“Rusia jelas sedang bermain masa, cuba menangguh, berharap masa memihak kepada mereka. Kita belum melihat sebarang usaha baik atau petanda positif daripada mereka,” katanya.
Sementara itu, pihak Ukraine menyatakan sekiranya Putin tidak menghadiri rundingan di Istanbul, ia akan membuktikan Rusia tidak serius untuk mengakhiri perang.
“Jika Vladimir Putin enggan hadir ke Turkiye, ia adalah isyarat terakhir bahawa Rusia tidak mahu menamatkan perang ini. Rusia tidak bersedia dan tidak berkehendak untuk sebarang rundingan damai,” tegas Ketua Staf Presiden Ukraine, Andriy Yermak dalam satu kenyataan.
Rundingan yang dijadualkan itu dilihat sebagai peluang penting bagi memulihkan diplomasi antara kedua-dua negara yang kini telah terperangkap dalam konflik berdarah sejak lebih dua tahun lalu. – AGENSI