GAZA: Imej satelit menunjukkan Israel sedang menyediakan beberapa tapak di Gaza untuk dijadikan sebagai pusat agihan bantuan kemanusiaan menerusi rancangan baharu yang ditentang badan dunia.
Langkah itu dibuat selepas Israel menggantung penghantaran makanan dan ubat-ubatan ke Gaza sejak Mac lalu, bertujuan memberi tekanan ke atas Hamas agar melepaskan baki tebusan yang masih ditahan.
Israel turut menuduh Hamas mencuri bantuan yang dihantar, dakwaan yang dinafikan oleh kumpulan pejuang Palestin itu.
Langkah Israel itu menerima kecaman meluas daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta para pemimpin dari Eropah dan Asia Barat.
PBB memberi amaran sekatan tersebut menyebabkan kekurangan makanan, ubat-ubatan dan bahan api yang teruk dengan satu penilaian pada Isnin lalu menganggarkan sekitar 2.1 juta penduduk Gaza kini berada dalam risiko kebuluran yang kritikal.
Dalam perkembangan berkaitan, Amerika Syarikat (AS) mengesahkan sedang menyediakan satu sistem baharu untuk menyampaikan bantuan melalui beberapa hab atau pusat agihan dalam Gaza, yang akan dikendalikan oleh syarikat swasta dengan perlindungan daripada kontraktor keselamatan dan tentera Israel.
Analisis imej satelit oleh BBC Verify menunjukkan kawasan tanah sudah dibersihkan dan jalan serta kawasan memuatkan bekalan baharu dibina di beberapa lokasi di selatan dan tengah Gaza sejak beberapa minggu lalu.
Israel masih belum mengumumkan secara rasmi lokasi pusat agihan bantuan yang dirancang.
Namun sumber kemanusiaan yang pernah diberikan taklimat oleh pegawai Israel memberitahu, sekurang-kurangnya empat pusat akan dibina di bahagian selatan Gaza dan satu lagi di bahagian utara berhampiran Koridor Netzarim, kawasan yang dikawal tentera Israel dan secara efektif membahagikan wilayah Gaza.
Gaza Humanitarian Foundation (GHF), sebuah pertubuhan yang ditubuhkan bagi menyokong pelaksanaan rancangan ini, pada awalnya menyatakan bekalan makanan, air dan kit kebersihan akan diagihkan kepada 1.2 juta penduduk, kurang daripada 60 peratus jumlah keseluruhan penduduk Gaza.
Bantuan dikawal tentera
Pada Rabu, pertubuhan itu mengumumkan operasi dijangka bermula sebelum akhir Mei dan dalam kenyataannya, ia kelihatan menggesa Israel supaya membenarkan bantuan disalurkan melalui saluran biasa sehingga pusat-pusat agihan tersebut beroperasi sepenuhnya.
GHF juga menyeru agar pusat bantuan turut dibina di utara Gaza, lokasi yang tidak termasuk dalam pelan asal Israel.
Sementara itu, agensi-agensi PBB menolak untuk bekerjasama dengan rancangan yang selaras dengan pelan terdahulu diluluskan oleh Israel kerana usaha itu dilihat bercanggah dengan prinsip-prinsip asas kemanusiaan.
Jurucakap Pejabat PBB bagi Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Olga Cherevko, menuduh Israel cuba menggunakan makanan dan bahan api sebagai alat tekanan dalam strategi ketenteraannya.
“Semua bantuan akan disalurkan melalui beberapa hab yang berada dibawah kawalan tentera rejim.
“Susunan seperti ini akan menutup akses bantuan kepada kawasan luas di Gaza, terutamanya kepada mereka yang paling terkesan dan tidak mampu bergerak atau yang terpinggir daripada menerima sebarang bantuan sebelum ini,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, wakil badan amal anti-kemiskinan Oxfam, Bushra Khalidi menyifatkan rancangan itu sebagai sandiwara semata-mata demi menutup mata dunia daripada kekejaman melampau yang sedang berlaku di Gaza.
“Tiada penyelesaian logistik mampu menangani strategi Israel yang memaksa perpindahan dan menggunakan kebuluran sebagai senjata perang. Hentikan sekatan, buka laluan lintasan dan biarkan kami menjalankan tugas kami,” tegasnya.
Difahamkan sistem agihan bantuan yang dicadangkan itu masih belum mendapat kelulusan akhir daripada Israel.
Arahan pemindahan paksa
Semalam, Israel turut mengeluarkan arahan pemindahan paling meluas kepada orang awam di Gaza sejak perang bermula.
Sebahagian besar Gaza City yang musnah akibat pengeboman diisytiharkan tidak selamat dan penduduk yang berlindung di kawasan tersebut diarahkan supaya meninggalkan lokasi berkenaan demi keselamatan mereka sebelum berdepan serangan intensif IDF.
Antara bangunan yang dikenal pasti oleh Israel termasuk Universiti Islam, Hospital Al-Shifa, dan tiga bekas sekolah.
Israel mendakwa bangunan-bangunan tersebut digunakan oleh Hamas sebagai pusat arahan dan kawalan, namun pihak berkuasa tempatan dan agensi bantuan kemanusiaan menyatakan terdapat ribuan orang awam yang sedang berlindung di sana.
Mereka berkata, pemindahan dari kawasan-kawasan ini memerlukan masa dan boleh menyebabkan jumlah korban yang sangat tinggi sekiranya serangan dilancarkan sebelum proses pemindahan selesai.
Ini merupakan petanda yang membimbangkan terhadap ancaman Israel untuk memperluas kempen ketenteraannya di Gaza secara besar-besaran.
Semalam, serangan tentera Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 60 orang di Semenanjung Gaza ketika AS dan perantara Arab berusaha untuk mencapai perjanjian gencatan senjata, dan Presiden, Donald Trump melawat Asia Barat.
Kebanyakan mangsa, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh di Khan Younis di selatan Gaza dalam serangan udara yang menyasarkan rumah dan khemah.
Antara yang terkorban termasuk wartawan tempatan, Hassan Samour yang bekerja untuk stesen radio Aqsa dikendalikan Hamas, bersama 11 ahli keluarganya apabila rumah mereka dibedil, menurut pegawai perubatan.-AGENSI