Puluhan kanak-kanak jadi korban perang kartel di Mexico

Puluhan kanak-kanak jadi korban perang kartel di Mexico

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Puluhan kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam pertempuran selama beberapa bulan antara dua puak dalam kartel dadah Sinaloa di barat laut Mexico, menurut kenyataan pegawai hak asasi tempatan.

Presiden Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Sinaloa, Oscar Loza berkata, hampir 100 kanak-kanak dilaporkan hilang sejak keganasan tercetus selepas penahanan seorang pengasas kartel pada Julai tahun lalu.

“Seramai 39 kanak-kanak terkorban dalam konflik bersenjata ini,” katanya, memetik data pejabat pendakwa raya.

Mangsa termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh dan 12 tahun yang maut pada Isnin lalu setelah terkena tembakan dalam pertempuran antara lelaki bersenjata dan pasukan keselamatan.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun turut cedera bersama ibu bapanya dan dua ahli keluarga lain, menurut pihak berkuasa.

“Bilakah rakyat akan pulih daripada luka yang begitu dalam dan menyakitkan? Tidak akan. Luka itu akan kekal, bukan kerana angka, tetapi kerana senyuman yang sudah terpadam,” kata Loza.

Insiden tembakan pada Isnin berlaku di wilayah Badiraguato, tempat kelahiran pengedar dadah terkenal yang dipenjara, Joaquin El Chapo Guzman, serta beberapa tokoh kanan kartel lain.

Tahun lalu, pengasas kartel Ismael El Mayo Zambada mendakwa beliau diculik oleh Joaquin Guzman Lopez, anak kepada El Chapo, dan dibawa secara paksa ke Amerika Syarikat (AS) menaiki pesawat peribadi.

Pertempuran dalaman dipercayai melibatkan penyokong El Chapo dan anak-anaknya menentang kumpulan yang setia kepada Zambada.

Konflik ini sudah meragut lebih 1,200 nyawa, menyebabkan 1,400 orang hilang, menakutkan penduduk tempatan dan melumpuhkan perniagaan di ibu negeri Sinaloa, Culiacan, serta beberapa bandar lain.

Sejak 2006, keganasan jenayah yang banyak berpunca daripada aktiviti pengedaran dadah dan kumpulan samseng menyebabkan sekitar 480,000 pembunuhan di seluruh Mexico.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN