Penjawat awam Britain dilarang beli produk lambang LGBT

Penjawat awam Britain dilarang beli produk lambang LGBT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kerajaan Britain melarang penjawat awam daripada membeli sebarang produk dengan lambang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) seperti bendera dan tali lanyard.

Langkah itu diumumkan susulan semakan perbelanjaan wang pembayar cukai terhadap barangan berjenama korporat dan barangan bukan keperluan rasmi, termasuk tali lanyard yang menampilkan bendera pelangi yang mewakili komuniti transgender dan individu yang hidup dengan HIV/AIDS.

Menjawab pertanyaan bertulis oleh Ahli Parlimen Parti Konservatif, Mike Wood, Menteri Pejabat Kabinet, Georgia Gould mengesahkan pembelian lanyard sebegitu termasuk dalam semakan tersebut.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kakitangan kerajaan masih dibenarkan memakai lanyard sedia ada, tetapi dasar baharu menghendaki semua jabatan menyemak semula polisi pembelian barangan berjenama dan tidak penting.

“Peraturan lebih ketat ini hanya membenarkan pembelian barangan berjenama kerajaan sekiranya benar-benar penting, seperti dalam urusan perdagangan luar negara atau diplomasi rasmi,” katanya.

Pejabat Kabinet sebelum ini memaklumkan kerajaan tidak lagi akan membiayai pembelian barangan tidak perlu termasuk hadiah cenderamata dan program hari berkumpulan kakitangan (away day).

Menteri Kanan, Pat McFadden berkata, pemotongan terhadap perbelanjaan boros membolehkan wang rakyat disalurkan kepada perkhidmatan awam utama seperti polis dan sekolah.

Langkah ini turut selari dengan usaha berterusan kerajaan untuk mengurangkan kos birokrasi, selepas kad kredit rasmi perkhidmatan awam dibekukan sebelum ini.

Kerajaan Britain kini memperketatkan kawalan perbelanjaan awam menerusi apa yang digelar sebagai Plan for Change, satu pelan menyeluruh bagi memacu semula pertumbuhan ekonomi, memulihkan sistem kesihatan kebangsaan (NHS) dan memperkukuh kawalan sempadan negara. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN