ISLAMABAD: Penduduk di kampung-kampung di bahagian bergolak di Kashmir yang dikuasai Pakistan mula pulang ke rumah masing-masing namun masih mengambil langkah berhati-hati dengan bunker perlindungan di kediaman mereka dipenuhi bekalan.
Lebih 60 orang dilaporkan terkorban dalam empat hari konflik sengit antara Pakistan dan India, sebelum gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat (AS) diumumkan pada Sabtu.
Di bahagian Pakistan yang bersempadan dengan Garis Kawalan (LoC) yang dikawal ketat, keluarga yang hidup dalam ketidaktentuan akibat tembakan berterusan pasukan tentera, mula kembali ke rumah mereka buat sementara waktu.
Penduduk, Kala Khan berkata, keluarganya seramai lapan orang terpaksa berlindung dalam dua bunker konkrit berdinding setebal lebih 50 sentimeter pada waktu malam dan juga sebahagian siang.
“Saya tinggal di kawasan menghadap Sungai Neelum dan boleh melihat pos tentera India dari kedudukan kami. Saya langsung tidak percaya kepada India dan yakin mereka akan menyerang lagi.
Bagi kami yang tinggal di kawasan ini, penting untuk membina bunker perlindungan berhampiran rumah.
“Setiap kali berlaku pengeboman dari India, saya akan bawa keluarga masuk ke dalam bunker ini. Kami simpan tilam, tepung, beras, bekalan makanan lain serta beberapa barangan berharga di dalamnya,” jelasnya.
Menurut seorang pegawai pentadbiran tempatan, lebih 1,000 bunker dibina di sepanjang LoC, kira-kira sepertiganya oleh kerajaan bagi melindungi orang awam daripada serangan meriam India.
Di Kashmir yang ditadbir India, ratusan ribu penduduk yang sebelum ini berpindah turut kembali ke rumah masing-masing secara berhati-hati dan ramai di antara mereka meluahkan kebimbangan yang sama seperti penduduk di pihak Pakistan.
Di perkampungan Chakothi yang dikelilingi bukit hijau subur dan pokok walnut di kaki gunung, kira-kira separuh daripada 300 kedai masih ditutup dan hanya segelintir orang kelihatan di jalan.
Seorang kakitangan kerajaan, Muhammad Munir, 53, berkata, golongan miskin yang paling terkesan dengan ketidaktentuan ini dan sentiasa terpaksa mencari tempat selamat.
“Saya tinggal di kawasan LoC selama 50 tahun. Gencatan senjata selalu diumumkan, tetapi selepas beberapa hari tembakan akan bermula semula. Tiada jaminan gencatan senjata kali ini akan bertahan, kami yakin tentang itu,” katanya. – AFP










