SAMUTPRAKAN: Seorang pemandu lori di Thailand mengalami kecederaan selepas seekor ikan tuna beku seberat kira-kira 40 kilogram (kg) tiba-tiba jatuh dari udara dan menghempap kepalanya dalam satu insiden aneh di Jeti Suphanawa, Blok 6, subdaerah Songkhonong, daerah Phra Pradaeng.
Kejadian luar biasa yang berlaku sekitar pukul 12 tengah hari itu mencetuskan kekecohan apabila pasukan penyelamat dari Yayasan Por Tek Tung segera dikerahkan ke lokasi selepas menerima laporan daripada Pusat Kecemasan Radio Prakan.
Mangsa, Prayot, 41, ditemui terbaring berhampiran lori 10 rodanya yang diparkir bersebelahan sebuah kapal kargo Korea Selatan yang sarat membawa 3,000 tan ikan tuna beku.
Luka sepanjang lima sentimeter di kepalanya namun dia masih sedar dan mampu menjawab soalan pasukan penyelamat.
Rawatan kecemasan diberikan di lokasi sebelum lelaki itu dibawa ke Hospital Bangchak untuk rawatan lanjut.
Beberapa ekor ikan tuna beku turut kelihatan bertaburan di atas tanah berhampiran lokasi kejadian. Saksi mendakwa ketika kejadian, ikan-ikan berkenaan sedang diangkat dari kapal menggunakan jaring besar.
Penjaga jeti berusia 56 tahun, Somsak, berkata, dia tidak menyaksikan kejadian itu secara langsung tetapi percaya ikan tuna tersebut terjatuh ketika dipindahkan dari kapal ke lori untuk dihantar ke sebuah kilang pemprosesan di Mahachai, Samut Sakhon.
“Ketika pemandu membuka pintu lorinya, seekor tuna seberat antara 30 ke 40kg terjatuh dari jaring dan terus menghempap kepala mangsa,” jelasnya.
Walaupun insiden itu kelihatan seperti adegan komedi slapstik, pihak berkuasa menegaskan keadaan boleh menjadi lebih serius sekiranya ikan itu menghempap kawasan yang lebih sensitif atau dengan kekuatan lebih tinggi.