NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melantik seorang utusan khas bagi menangani Islamofobia sebagai usaha global membanteras kebencian terhadap umat Islam.
Jawatan tersebut kini dipegang oleh Miguel Angel Moratinos dari Sepanyol, yang juga merupakan wakil tinggi bagi Perikatan Peradaban PBB, sebuah inisiatif yang bertujuan memerangi ekstremisme.
Moratinos sebelum ini pernah berkhidmat dalam kerajaan Sepanyol dan menjalin kerjasama rapat dengan PBB ketika beliau menjadi Menteri Luar Negara dari 2004 hingga 2010.
Beliau turut pernah berkhidmat sebagai wakil khas Kesatuan Eropah (EU) bagi proses damai Timur Tengah antara 1996 hingga 2003 di mana beliau giat mempromosikan perjanjian damai serta berusaha menggalakkan dialog antara Israel dan dunia Arab.
Moratinos juga pernah dilantik sebagai duta Sepanyol ke Israel pada 1996.
Pada 15 Mac setiap tahun, PBB menyambut Hari Antarabangsa Menangani Islamofobia.
Hari peringatan ini mula diperkenalkan selepas satu resolusi yang dikemukakan oleh Pakistan diluluskan sebulat suara oleh Perhimpunan Agung PBB pada 2022.
Dokumen tersebut disokong oleh 60 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Pada sambutan tahun ini, Moratinos mengecam kebencian dan retorik yang menghilangkan nilai kemanusiaan yang sering kali dihadapi oleh umat Islam di pelbagai tempat di dunia.