Pakistan umum lancar serangan ketenteraan terhadap India

Pakistan umum lancar serangan ketenteraan terhadap India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Pakistan mengumumkan melancarkan operasi ketenteraan terhadap India menggunakan peluru berpandu jarak sederhana jenis Fateh bagi menyerang kemudahan simpanan peluru berpandu serta pangkalan udara India di Pathankot dan Udhampur.

Serangan dilakukan sebagai tindak balas selepas Pakistan berkata, India menembak peluru berpandu ke arah tiga pangkalan udara di Pakistan, termasuk satu yang terletak di pinggir ibu negara Islamabad.

Ketegangan antara dua negara bersenjata nuklear itu kini semakin memuncak ke arah peperangan berskala penuh.

Menurut saluran televisyen milik kerajaan, Pakistan Television (PTV), serangan balas sedang dilaksanakan terhadap beberapa lokasi di India.

Menteri Penerangan, Attaullah Tarar memaklumkan, kerajaan Pakistan menamakan operasi ketenteraan balas ini sebagai ‘Bunyan-un-Marsoos’, yang membawa maksud struktur yang teguh dan bersatu, berdasarkan istilah daripada al-Quran.

Tentera Pakistan dalam satu kenyataan kepada media berkata, lokasi simpanan peluru berpandu BrahMos telah dimusnahkan di kawasan Beas dan turut mengesahkan pangkalan udara Pathankot di Punjab barat India serta Stesen Udara Udhampur di wilayah Kashmir yang dikuasai India telah diserang.

Setakat ini, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar India belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.

Menteri Perancangan Pakistan dalam satu wawancara televisyen berkata, langkah khas diambil untuk mengelakkan serangan ke atas sasaran orang awam dan hanya lokasi yang digunakan untuk menyerang Pakistan yang menjadi sasaran utama.

Tentera Pakistan juga memaklumkan Perdana Menteri, Shehbaz Sharif memanggil mesyuarat tergempar Pihak Berkuasa Perintah Kebangsaan (NCA), badan tertinggi negara yang menyelaras keputusan berkaitan senjata nuklear dengan penyertaan pemimpin awam dan tentera.

Krisis terbaharu ini bermula sejak Rabu lalu, apabila India melancarkan serangan udara ke atas tapak yang didakwa sebagai lokasi pengganas di wilayah Pakistan.

Serangan itu dikatakan sebagai tindak balas kepada satu serangan berdarah ke atas pelancong di wilayah Kashmir dikawal India yang mengorbankan 26 nyawa.

Pertempuran yang berlaku sejak itu melibatkan penggunaan peluru berpandu, dron, serta tembakan balas di sepanjang sempadan de-facto di Kashmir yang menjadi pertikaian.

Setakat ini, konflik tersebut telah meragut lebih 50 nyawa orang awam dan disifatkan sebagai yang paling buruk dalam beberapa dekad.

Jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry, dalam siaran langsung di televisyen kebangsaan pada awal pagi Sabtu berkata, India melancarkan serangan peluru berpandu ke atas tiga pangkalan udara.

Menurut beliau, kebanyakan peluru berpandu tersebut berjaya dipintas dan tiada aset penerbangan yang terjejas dalam serangan itu.

Anatara yang menjadi sasaran ialah Pangkalan Udara Nur Khan di Rawalpindi, bandar pengkalan tentera yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Islamabad.

Beberapa letupan turut kedengaran dari ibu negara sepanjang malam.

Pangkalan udara tersebut digunakan untuk menerima tetamu kenamaan antarabangsa, dan Menteri Hal Ehwal Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir, dilaporkan berlepas dari pangkalan itu hanya beberapa jam sebelum serangan berlaku.

“Ini adalah satu provokasi yang sangat serius. Kini tunggu sahaja balasan daripada kami,” tegas Ahmed Sharif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN