NZ cadang sekat kanak-kanak akses media sosial

NZ cadang sekat kanak-kanak akses media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon mencadangkan undang-undang baharu yang akan melarang kanak-kanak bawah umur 16 tahun menggunakan media sosial sebagai langkah melindungi mereka daripada kandungan berbahaya platform teknologi besar.

Cadangan itu diumumkan ketika kerajaan di seluruh dunia semakin bergelut untuk menangani isu keselamatan kanak-kanak dalam talian, berikutan platform media sosial kini semakin dipenuhi dengan kandungan yang ganas dan boleh mengganggu emosi.

Luxon berkata, undang-undang itu akan mewajibkan syarikat media sosial mengesahkan usia pengguna bagi memastikan mereka berumur sekurang-kurangnya 16 tahun atau berdepan denda sehingga NZ$2 juta (RM5.05 juta) jika gagal berbuat demikian.

“Ia adalah tentang usaha melindungi anak-anak kita. Ia juga penting untuk memastikan syarikat media sosial memainkan peranan mereka untuk mematikan anak-anak kita selamat.

“Ramai ibu bapa memberitahu kami mereka amat bimbang tentang kesan media sosial terhadap anak-anak mereka. Mereka juga berdepan kesukaran dalam mengawal akses anak-anak kepada platform ini,” jelasnya.

Cadangan itu diinspirasikan daripada pendekatan Australia yang melaksanakan undang-undang serupa pada November lalu, antara langkah paling tegas di dunia dalam mengawal selia penggunaan platform seperti Facebook, Instagram dan X.

Tindakan itu mencetuskan kritikan hebat daripada syarikat teknologi gergasi berkenaan yang menyifatkan undang-undang tersebut sebagai tergesa-gesa, kabur dan bermasalah.

Luxon tidak menetapkan tarikh tepat undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen, namun beliau berharap dapat memperoleh sokongan dari seluruh anggota Kabinet.

Undang-undang itu dirangka oleh Parti Nasional pimpinan Luxon, kumpulan terbesar yang membentuk kerajaan New Zealand namun, kelulusannya memerlukan sokongan dua lagi parti dalam gabungan tersebut.–AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN