TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan pasukan tenteranya akan melancarkan serangan habis-habisan terhadap Semenanjung Gaza dalam tempoh terdekat, sekali gus membayangkan konflik berdarah itu belum menunjukkan tanda-tanda akan reda.
Kenyataan keras itu dikeluarkan Netanyahu ketika bertemu dengan sekumpulan tentera simpanan yang cedera dalam pertempuran, Isnin lalu, dan disahkan oleh pejabat Perdana Menteri Israel dalam satu kenyataan rasmi, semalam.
“Dalam beberapa hari akan datang, kita akan masuk (ke Gaza) dengan kekuatan penuh untuk menamatkan operasi ini. Menamatkan operasi bermakna mengalahkan Hamas, menghancurkan Hamas,” katanya.
Beliau berkata, walaupun kemungkinan akan ada gencatan senjata sementara, perang tetap diteruskan sehingga matlamat Israel tercapai sepenuhnya.
Kenyataan itu hadir selepas tentera Israel mengedarkan arahan pemindahan kepada penduduk di kawasan utara Gaza awal pagi semalam, sebagai isyarat kepada operasi besar-besaran yang bakal dilancarkan.
Israel sebelum ini telah melancarkan semula serangan besar-besaran ke atas Gaza pada 18 Mac lalu selepas usaha mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata 19 Januari gagal menemui jalan penyelesaian.
Awal bulan ini, kerajaan Israel turut meluluskan rancangan untuk memperluas serangan ke seluruh Gaza, termasuk cadangan mengekalkan kehadiran jangka panjang mereka di wilayah Palestin tersebut.
Langkah tersebut mengundang kecaman antarabangsa apabila tentera Zionis menyatakan operasi lebih besar itu akan melibatkan pemindahan sebahagian besar penduduk Gaza yang hampir keseluruhan daripada 2.4 juta penduduk di wilayah itu sudah menjadi pelarian sekurang-kurangnya sekali sejak perang meletus.
Seorang pegawai keselamatan kanan Israel turut mendedahkan usaha untuk memindahkan penduduk Gaza secara sukarela ke negara-negara jiran yang merupakan sebahagian daripada objektif operasi ketenteraan tersebut.
Namun, cadangan berkenaan ditolak keras oleh negara-negara Arab termasuk Mesir, Jordan serta Pihak Berkuasa Palestin (PA) sendiri.
Israel melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran sejak Oktober 2023 yang sehingga kini meragut lebih 52,908 nyawa di Gaza, sebahagian besar daripadanya adalah orang awam. – AGENSI