TOKYO: Pasukan penyelamat Jepun akhirnya menemui mayat seorang pemandu lori yang terperangkap dalam sebuah lubang benam besar berhampiran Tokyo sejak tiga bulan lalu, menurut kenyataan rasmi pada Jumaat.
Lapor Kyodo News, pihak berkuasa wilayah Saitama mengesahkan bentuk menyerupai tubuh manusia ditemukan di dalam kabin lori yang tersangkut pada paip pembetungan sejauh 30 meter (m) dari lokasi asal kejadian.
Kejadian tragis itu berlaku pada waktu pagi 28 Januari lalu di bandar Yashio, apabila jalan yang dilalui lelaki berusia 74 tahun itu tiba-tiba runtuh, menyebabkan lorinya ‘ditelan’ lubang benam sedalam 16m.
Lubang benam tersebut dilaporkan berpunca daripada paip pembetungan yang rosak akibat hakisan.
Usaha pasukan penyelamat menghampiri lokasi mangsa tertimbus tergendala selama berminggu-minggu kerana keadaan tanah yang tidak stabil dan risiko runtuhan.
Sejak itu, lubang berkenaan membesar sehingga melebihi 40m lebar, menyamai saiz kolam renang Olimpik.
Bagi memudahkan operasi menyelamat, cerun khas dibina bagi membolehkan jentera berat masuk ke dalam kawasan runtuhan.
Seramai 1.2 juta penduduk sekitar turut diminta mengehadkan penggunaan air, termasuk mengurangkan waktu mandi dan membasuh pakaian bagi mengelakkan kebocoran kumbahan mengganggu operasi mengesan mangsa.
Pihak berkuasa tempatan turut membina dinding penghadang untuk memastikan keselamatan sepanjang operasi menyelamat.
“Kami menemui seorang lelaki di dalam kabin lori dan mengesahkan kematiannya sebelum menyerahkan kes ini kepada polis,” kata jurucakap jabatan bomba tempatan pada Jumaat.
Polis memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk pengesahan rasmi identiti mayat.
Dalam kenyataan kepada media Jepun, seorang ahli keluarga mangsa meluahkan rasa sedih dan sukar menerima kehilangan tersebut.
“Hingga ke saat akhir hidupnya, ayah saya yang memiliki semangat kuat pasti berharap untuk pulang dengan selamat, melawan rasa takut dan kesakitan.
“Ia membuatkan hati saya sebak. Saya masih tidak percaya dan sukar menerima kenyataan ayah saya yang disayangi ramai, tiba-tiba hilang begitu sahaja,” ujar kenyataan tersebut.
Menurut kajian Kementerian Tanah Jepun, kejadian lubang benam semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan lebih 10,000 kes dilaporkan pada tahun fiskal 2022.
Kebanyakannya berlaku di kawasan bandar dan berpunca daripada sistem pembetungan yang rosak.-AFP