CIREBON: Lebih 20 pekerja terperangkap dalam runtuhan di sebuah kuari batu kapur di Jawa Barat semalam, menurut Ketua Polis Cirebon, Sumarni.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia, Abdul Muhari, memaklumkan setakat ini mayat 10 pekerja sudah dijumpai.
Pasukan penyelamat turut mengeluarkan lebih 12 individu yang cedera dan terperangkap di bawah runtuhan.
Enam daripada mereka dibawa ke hospital dan mengalami kecederaan serius.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) berdepan halangan susulan keadaan tanah tidak stabil dengan ia berisiko menyebabkan berlaku lebih banyak runtuhan.
Sehubungan itu, kerja menyelamat yang dijalankan terpaksa ditangguhkan kerana cuaca semakin gelap sekali gus menyukarkan operasi pencarian.
Operasi itu disambung hari ini dengan beberapa jengkaut dan trak dikerahkan membersihkan sisa runtuhan dalam usaha mencari enam lagi individu yang masih hilang.
Menurut Sumarni, pihak berkuasa masih menyiasat punca runtuhan dan sedang menjalankan soal siasat ke atas pemilik dan pekerja kuari itu.










