Korea Utara tahan tiga individu sebabkan kerosakan ketika pelancaran kapal perang - Utusan Malaysia

Korea Utara tahan tiga individu sebabkan kerosakan ketika pelancaran kapal perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PYONGYANG: Korea Utara menahan tiga individu berikutan insiden yang berlaku semasa pelancaran kapal perang baharu minggu lalu, menurut laporan media rasmi negara itu awal pagi Ahad.

Menurut laporan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), insiden serius berlaku ketika majlis pelancaran sebuah kapal pemusnah tentera laut seberat 5,000 tan di pelabuhan timur Chongjin pada Rabu di mana sebahagian bawah kapal tersebut telah rosak teruk.

Pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un menyifatkan kejadian itu sebagai tindakan jenayah akibat kecuaian mutlak yang mencemarkan maruah negara dan berjanji akan menghukum mereka yang bertanggungjawab terhadap insiden tersebut.

Tiga individu yang ditahan adalah ketua jurutera limbungan Chongjin, Kang Jong Chol; ketua bengkel pembinaan badan kapal, Han Kyong Hak; dan timbalan pengurus urusan pentadbiran, Kim Yong Hak.

Sebelum itu, pengurus limbungan, Hong Kil Ho turut dipanggil oleh pihak berkuasa untuk siasatan lanjut, pada Jumaat.

Jong-un mengarahkan agar kapal tersebut dibaik pulih sebelum mesyuarat parti pemerintah yang dijadualkan berlangsung pada bulan Jun dan rancangan pemulihan kini sedang dijalankan dengan pantas.

Dalam kenyataan berasingan, tentera Korea Selatan memaklumkan berdasarkan penilaian bersama perisikan Seoul dan Amerika Syarikat (AS), cubaan pelancaran kapal secara sisi itu gagal, dan kapal tersebut kelihatan senget di dalam air.

Namun, KCNA menafikan kerosakan serius berlaku dengan menyatakan bahawa pemeriksaan dalaman dan bawah laut mendapati tiada lubang pada dasar kapal serta menyifatkan tahap kerosakan sebagai tidak serius.

Imejan satelit yang dianalisis oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) yang berpangkalan di AS menunjukkan kapal perang itu terbaring mengiring, dilitupi kain biru, dengan bahagian belakang menjulur ke dalam pelabuhan manakala haluan masih berada di atas pelantar pelancaran.

Menurut tentera Korea Selatan, kapal perang tersebut dipercayai memiliki persamaan dengan kapal pemusnah kelas Choe Hyon seberat 5,000 tan yang dilancarkan Korea Utara bulan lalu. Pyongyang mendakwa kapal Choe Hyon dilengkapi dengan senjata paling berkuasa dan dijadualkan mula beroperasi awal tahun hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×