SEOUL: China dan Korea Utara mengecam pembangunan perisai peluru berpandu ‘Golden Dome’ yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebagai ancaman ‘sangat berbahaya’ kepada dunia.
Katanya, langkah meletakkan senjata di angkasa lepas adalah perkembangan yang membawa ancaman global baharu, lapor media rasmi Korea Utara, Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Kementerian Luar Korea Utara menerusi satu memorandum menyifatkan sistem itu sebagai ‘inisiatif ancaman yang sangat berbahaya’ dan mengancam keselamatan strategik negara-negara kuasa nuklear.
Minggu lalu, Trump mengumumkan butiran baharu serta pembiayaan awal bagi sistem pertahanan peluru berpandu itu, sambil menyifatkannya ‘pelan sangat penting untuk melindungi serta memastikan kelangsungan keselamatan AS’.
Bagaimanapun, penganalisis menyatakan inisiatif itu berdepan pelbagai cabaran teknikal dan politik, selain memerlukan kos yang sangat tinggi.
Memorandum Korea Utara yang memiliki senjata nuklear itu turut mendakwa AS terlalu taksub untuk meletakkan senjata di angkasa lepas semata-mata untuk mendapatkan kelebihan berbanding negara lain.
“Pelan AS untuk membina sistem pertahanan peluru berpandu baharu ini menjadi punca utama mencetuskan perlumbaan senjata nuklear dan angkasa global.
“Ia turut meningkatkan kebimbangan keselamatan negara-negara kuasa nuklear serta menjadikan angkasa lepas sebagai medan potensi perang nuklear,” lapor KCNA.
Pada 20 Mei lalu, Trump mengumumkan reka bentuk pilihan bagi program bernilai AS$175 bilion (RM820 bilion) itu serta menamakan ketua program berkenaan.
Matlamat pelan ‘Golden Dome’ ialah memanfaatkan rangkaian ratusan satelit yang mengelilingi bumi, dilengkapi dengan pengesan dan pemintas canggih bagi menghalang serangan peluru berpandu dari negara seperti China, Iran, Korea Utara dan Russia.
Minggu lalu, China menyatakan ‘kebimbangan serius’ terhadap projek itu dan menggesa Washington menghentikan pembangunannya. – AFP










