'Kita tidak akan terbang selagi Amer tidak naik pesawat' - Utusan Malaysia

‘Kita tidak akan terbang selagi Amer tidak naik pesawat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRIPOLI: Kisah seorang lelaki dari Libya yang pada mulanya kecewa tidak dapat menunaikan haji gara-gara terlepas penerbangan tular dalam media sosial.

Hasrat Amer Al Mahdi Mansour Al Gaddafi untuk menunaikan haji hampir tidak kesampaian selepas dia ditahan di imigresen semasa pemeriksaan keselamatan.

Ketika menunggu masalahnya diselesaikan, Amer masih ditahan anggota imigresen dan tidak dibenarkan bergerak bebas.

Menurut Gulf News, selepas isu keselamatan itu dapat diatasi, juruterbang dikatakan enggan membenarkannya menaiki pesawat dan kemudian memutuskan untuk terbang tanpanya.

Sedih dengan makluman itu, Amer menangis di lapangan terbang dan enggan pulang kerana yakin dia masih mempunyai peluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Saya berhasrat menunaikan haji, dan insya Allah, saya akan (dapat) pergi,” katanya.

Tidak lama selepas berlepas, pesawat itu berpatah balik kerana isu teknikal, namun juruterbang masih enggan membenarkan Amer menaiki kapal terbang itu.

Selepas berlepas untuk kali kedua, pesawat terbabit berdepan masalah sama hingga terpaksa berpatah balik sekali lagi.

Menurut penumpang dan kru penerbangan, selepas dua kali pesawat berdepan masalah, juruterbang terbabit menyatakan dia tidak akan terbang selagi Amer tidak menaiki pesawat berkenaan.

Pihak berkuasa kemudiannya membenarkan Amer menaiki pesawat itu dan penerbangan lancar sehingga tiba di Tanah Suci

Amer berkata, dia percaya takdir sudah tertulis untuk dia menunaikan haji tahun ini.

“Saya hanya mahu tunaikan haji. Saya percaya jika ia ditulis untuk saya, tiada apa dapat menghalangnya,” katanya.